Akta Berkaitan 3R Perlu Diwujudkan Sebelum Ambil Sebarang Tindakan – Tun M

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu membahaskan perkara yang ditakrifkan sebagai isu sensitif kaum, agama dan raja (3R) di Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum tindakan diambil terhadap mereka yang bercakap mengenai perkara tersebut.

Beliau mendakwa kerajaan boleh dianggap sebagai diktator kerana menyekat kebebasan rakyat membincangkan tiga perkara berkenaan.

“Sebab itu pemimpin yang berwibawa tidak muncul dengan mudah kerana mereka takut. Tak ada perbincangan langsung berkenaan ini tiba-tiba kata 3R tak boleh cakap.

“Bahas 3R dalam Parlimen. Apa kuasa dia. Kita kata bebas bersuara. Kalau nak jadi undang-undang bawa dalam Parlimen dan bahas sama ada boleh jadi jenayah atau tidak,” kata Mahathir menerusi program Skop MG, malam tadi.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa ketika ini terdapat tekanan yang ketara terhadap politik tanah air.

Beliau mendakwa, orang Melayu terutamanya berada dalam ketakutan untuk menonjolkan diri dalam politik atau menentang kerajaan.

“Ada yang kata akan hantar kereta peronda polis. Sekarang kita dapati tindakan hasutan. Kita tidak diberitahu apa hasutan. Kita kata hasutan.

“Banyak benda boleh jadi hasutan. Mungkin orang bercakap mengenai pendapat mereka tetapi boleh kena tangkap. Ini menakutkan mereka,” katanya.

Bukan itu sahaja, Dr Mahathir turut menyelar pihak yang kononnya memperjuangkan reformasi dan mahu melakukan pembaharuan terhadap pentadbiran negara, namun masih menggunakan Akta Hasutan yang mahu dihapuskan.

Dua hari lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi meneliti dan memperhalusi cadangan mewujudkan akta baharu berkaitan 3R.

Ia bagi menangani provokasi melampau dan kebencian rakyat melibatkan isu tersebut.

Azalina berkata, beliau akan mengadakan pertemuan pertama dengan pihak berkaitan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur pada 21 Julai ini.

Pihak berkenaan antaranya melibatkan Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam, agensi penguatkuasaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional.

BBerkaitan

Latest articles