Akhirnya Ali Biju Tarik Diri

KUCHING: Susulan perbincangan bersama pimpinan tertinggi BERSATU, hari ini, Datuk Ali Biju mengumumkan menarik diri sebagai calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, sekaligus menyatakan sokongan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu juga berkata, keputusannya itu bagi memelihara muafakat serta memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.

“Saya mendapat nasihat pimpinan tertinggi parti serta jaminan Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati antara PN dan Tan Sri Abang Johari Openg selaku Pengerusi GPS.

“Saya penuh yakin muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuh hubungan utuh antara PN dan GPS.

“Justeru, saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ali, yang juga Ahli Parlimen Saratok pada Isnin lalu menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Krian yang menyaksikan persaingan empat penjuru daripada Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu), Danny Kuan (Parti Bumi Kenyalang) dan Friday.

Kononnya keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan desakan pimpinan masyarakat dan pengundi.

Ujar Ali, sejak menyandang kerusi DUN Krian pada 2011, beliau mendapat sokongan dari penduduk setempat dan ini mendorong beliau untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok.

“Bagaimanapun, saya menginsafi hakikat keputusan itu akan menjejaskan hubungan baik di antara BERSATU dan GPS.

“Saya harap seluruh pengundi diam DUN Krian, DUN Kalaka dan DUN Kabong yang semuanya di bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan padu kepada calon GPS,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles