KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen Sabah mendesak kerajaan Persekutuan menyelesaikan baki tunggakan RM59.5 juta bagi projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang tidak diliputi menerusi peruntukan tambahan Kementerian Kewangan (MOF).
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, desakan itu dibuat susulan penggulungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu berkenaan pada 26 Oktober lalu yang disifatkan tidak memuaskan hati mereka.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, isu pembatalan, penangguhan serta tunggakan bayaran projek JALB memerlukan perhatian serius kerajaan Persekutuan.
“Kami ahli-ahli Parlimen Sabah telah mendengar penggulungan daripada Yang Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 26 Oktober 2026.
“Ini berkaitan dengan persoalan isu jalan luar bandar (JALB) yang pada pandangan kami tidak memuaskan hati,” katanya ketika sidang media pada Khamis.
Menurutnya, setakat 30 September lalu, sebanyak 112 projek JALB mengalami tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta tuntutan berkaitan tanah berjumlah RM259.503 juta.
Beliau berkata, Sabah mencatatkan tunggakan tertinggi sebanyak RM118.84 juta melibatkan 35 projek, diikuti Sarawak dengan 34 projek dan Semenanjung dengan 43 projek.
Ewon berkata, sebanyak 40 projek melibatkan peruntukan RM5.144 bilion terjejas susulan pembatalan proses tender, termasuk 13 projek di Sabah bernilai RM1.716 bilion.
Selain itu, penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) melibatkan 87 projek dengan peruntukan keseluruhan RM8.096 bilion turut menjejaskan pelaksanaan projek berkenaan.
Daripada jumlah itu, tujuh projek di Sabah melibatkan peruntukan RM548.85 juta terjejas susulan arahan bertarikh 10 September lalu yang membekukan pengeluaran SST.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan menyalurkan baki peruntukan RM59.5 juta bagi menyelesaikan tunggakan yang belum diliputi dana tambahan MOF, selain mengkaji semula pembatalan tender bagi membolehkan 26 projek di Sabah dan Sarawak diteruskan.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu menilai semula penangguhan 46 projek di Sabah dan Sarawak, masing-masing tujuh projek di Sabah dan 39 projek di Sarawak.
“Infrastruktur jalan raya di Sabah dan juga di Sarawak dan di Semenanjung merupakan nadi kehidupan rakyat,” katanya.
Menurut Ewon, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan pembangunan infrastruktur asas luar bandar tidak terus terjejas akibat pembatalan dan penangguhan projek berkenaan.










