Agong Tegaskan Sesiapa Tolak Rukun Negara Tidak Layak Digelar Warganegara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan bahawa mana-mana individu yang enggan mematuhi dan menghayati prinsip Rukun Negara tidak sepatutnya dianggap layak untuk digelar sebagai warganegara Malaysia.

Seri Paduka Baginda bertitah, Rukun Negara bukan sekadar dokumen rasmi negara, sebaliknya merupakan ikrar bersama rakyat yang diwujudkan bagi memulihkan perpaduan nasional selepas berlakunya peristiwa rusuhan kaum pada 1969.

Justeru, setiap rakyat perlu menjadikan lima prinsip tersebut sebagai panduan dalam kehidupan seharian demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

“Semua pihak perlu menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan dalam kehidupan sebagai rakyat Malaysia. Jika ada yang tidak mahu berpegang kepada prinsip-prinsip tersebut, saya berpandangan bahawa individu itu tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Baginda.

Titah itu disampaikan ketika Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Turut berangkat pada istiadat berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota Jemaah Menteri, termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta wakil diplomatik asing.

Dalam titahnya, Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa perpaduan merupakan tunjang utama kekuatan negara yang menjadi asas kepada kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Sehubungan itu, Baginda menyeru rakyat agar terus memupuk sikap saling menghormati, bertolak ansur dan bersatu hati tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim menggesa rakyat mengambil iktibar daripada tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang pernah menggugat keamanan negara.

Menurut Baginda, peristiwa itu tercetus apabila terdapat pihak yang melampaui batas, menghina pihak lain dan mengabaikan nilai hormat-menghormati sesama rakyat.

“Peristiwa tersebut telah meruntuhkan perpaduan rakyat dan menjejaskan kestabilan negara. Jangan sampai sejarah hitam itu berulang kembali,” titah Baginda.

Istiadat pengurniaan kali ini merupakan yang ketiga disempurnakan oleh Sultan Ibrahim sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 Julai 2024.

Sebanyak 161 penerima dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong bagi tahun 2026.

BBerkaitan

Latest articles