KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) membangkitkan bantahan terhadap permohonan semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam Malaysia bagi mencabar perintah tahanan di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
AGC dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, bantahan itu dikemukakan ketika pendengaran kebenaran untuk semakan kehakiman pada 12 November lalu.
Menurut kenyataan itu, bantahan berkenaan dibuat atas alasan keputusan yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64 tidak boleh dicabar di mahkamah.
Keputusan berkenaan dibuat di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Hujahan pihak-pihak akan didengar pada 17 Mac 2027,” menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara bertarikh 24 November 2026 itu.
Badan Peguam Malaysia sebelum ini memfailkan Permohonan Semakan Kehakiman bagi mencabar perintah tahanan di rumah yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Najib.
AGC menegaskan akan terus mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil.
“Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara akan terus mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil,” menurut kenyataan itu.










