Abdul Hadi Dakwa UMNO, Amanah Jadi ‘Gurkha’ DAP

KUALA LUMPUR: Lagi serangan PAS terhadap pihak lawan, dimana kali ini ia menuduh UMNO dan Amanah, dua parti yanh dinaungi orang Melayu dan Islam itu sebagai ‘gurkha’ bagi DAP.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa DAP menggunakan cara Inggeris mempergunakan bangsa yang dijajah ‘Gurkha’ sebagai tentera barisan hadapan bagi menentang musuh.

Kononnya UMNO dan Amanah diperkudakan DAP sebagai askar ‘Gurkha’ untuk melawan PAS.

UMNO, menurut Abdul Hadi didakwa terkeluar daripada dasar dan landasan asal perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

Parti dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu merupakan Gurkha baharu DAP, dakwa Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Katanya, ada dalam kalangan UMNO kini menjadi tentera pelatih ‘Gurkha’ sehingga meletakkan ‘kedua-dua belah kaki’ untuk bersama DAP dan PKR dengan penuh wala’.

“Kenyataan beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang cuba mempertahankan DAP telah menunjukkan berlakunya proses latihan (eksesais) untuk menjadikan UMNO sebagai anggota baharu dalam pasukan Gurkha DAP.

“Sehinggakan, pemimpin itu terpaksa melakukan kempen betapa perlunya UMNO bersama DAP dengan alasan parti itu telah menerima Islam dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk hak istimewa bangsa Melayu dan bumiputera,” katanya.

Manakala Amanah, adalah Gurkha pertama ‘dilatih’ DAP telah diberikan tempat dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga diletakkan sebagai calon bagi menentang PAS khususnya di kawasan campuran yang mempunyai pendukung DAP.

Pemimpin Amanah juga diberikan tempat dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan setelah PH berjaya menubuhkan kerajaan.

Abdul Hadi berkata, bukti Amanah menjadi ‘Gurkha’ DAP apabila calon parti itu mendapat undi hampir 100 peratus daripada kalangan penyokong DAP dan sedikit undi tambahan daripada orang Melayu yang ‘pening akalnya’ atau yang dapat dibeli.

Amanah juga dakwa beliau, menjadi jurucakap DAP bagi menyerang PAS dan bersama parti itu bagi menentang pindaan terhadap Rang Undang-undang 355 (RUU 355).

“PAN (Amanah) cukup berjasa kepada DAP, sehingga sanggup menjadi benteng pertahanannya yang tidak perlu diarah kerana berjaya mendapat tarbiah yang mencapai tahap wala’ kepada DAP, laksana askar ‘Gurkha’ dalam tentera British.

“Adapun mereka memakai unifom berceloreng Islam dan Melayu walaupun terkoyak lusuh bagi menjimatkan belanja.

“Malah, mereka menggunakan senjata tiruan yang berjenama Islam. Antaranya dengan menunjukkan amar ma‘ruf dan nahi munkar yang sangat nyata koyaknya,” kata Abdul Hadi.

BBerkaitan

Latest articles