PUTRAJAYA: Demi mencari adiknya yang masih belum dapat dihubungi, seorang anggota pasukan penyelamat sanggup turun sendiri ke kawasan bencana di Rasuwa, Nepal.
Mohd Saiful Munir, 46, bukan sahaja akan menyertai misi bantuan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal, malah membawa bersama harapan besar keluarganya untuk mengetahui perkembangan adiknya, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44.
Mohd Fakhrul yang lebih mesra dipanggil “Loe” masih gagal dihubungi susulan bencana banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda Rasuwa.
Bagi Mohd Saiful, peluang menyertai misi itu amat bermakna kerana beliau dapat menggunakan kepakaran sebagai anggota penyelamat, pada masa sama berada lebih dekat dengan lokasi adiknya dipercayai berada.
“Kita akan cuba yang terbaik, insya-Allah.
“Terima kasih juga kepada kerajaan kerana beri satu laluan kepada kita. Saya sendiri sebagai pasukan penyelamat, tetapi khususnya saya juga ada darah daging dekat sana,” katanya selepas menghadiri pertemuan bersama wakil Wisma Putra, hari ini.
Katanya, kehadirannya di Nepal bukan semata-mata untuk mencari adiknya, sebaliknya mahu menyumbang tenaga dan kepakaran dalam membantu mangsa bencana.
Dalam masa sama, beliau berharap misi itu sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada keluarganya yang masih menanti khabar mengenai Mohd Fakhrul.
Semalam, Mohd Saiful berkata beliau dan keluarga kekal positif serta berharap adiknya bersama rakan-rakan berada dalam keadaan selamat.
Mereka dipercayai terputus hubungan susulan bencana berkenaan, dan keluarga masih berharap keadaan itu berpunca daripada gangguan komunikasi akibat bencana, bukannya sesuatu yang lebih buruk.
Sementara itu, ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan tragedi banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal mula hadir ke Wisma Putra sejak jam 10 pagi tadi.
Pertemuan kira-kira jam 11 pagi itu memberi ruang kepada pihak kementerian dan Majlis Keselamatan Negara untuk memberikan penerangan serta perkembangan terkini berhubung status pencarian ahli keluarga mereka.










