Ab Rauf Diberi Kuasa Runding Kerjasama Hadapi PRN Melaka

GERIK: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh diberikan mandat penuh untuk merundingkan bentuk kerjasama dengan mana-mana gabungan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rundingan berkenaan perlu dilakukan secara baik, khususnya dalam isu pembahagian kerusi yang sering menjadi perkara paling rumit antara parti.

“Perbincangan yang selalunya rumit adalah mengenai pembahagian kerusi. Bincang baik-baik, tidak ada masalah yang tidak boleh dirungkaikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) 2026–2035 di Kampung Air Banun, hari ini.

Menurut Zahid yang juga Presiden UMNO, hasil rundingan yang dipersetujui Ab Rauf akan dibawa kepada kepimpinan tertinggi UMNO sebelum diputuskan di peringkat Dewan Tertinggi BN.

Perkembangan itu hadir ketika keterbukaan BN untuk bekerjasama pada PRN Melaka mendapat respons positif daripada beberapa gabungan politik.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil, pada semalam menyifatkan keterbukaan BN berhubung pengagihan kerusi sebagai ruang yang wajar diterokai.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, turut menyatakan kesediaan gabungan itu untuk berunding dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.

Zahid sebelum ini berkata BN masih membuka ruang perbincangan mengenai pengagihan atau pertukaran kerusi, dengan syarat rundingan dilakukan secara jujur dan tidak menjejaskan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada setiap parti.

BBerkaitan

Latest articles