Abang Johari Menang Tanpa Bertanding, Kekal Adun Gedong Penggal Ke-11

KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Openg terus mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) apabila diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Kemenangan itu menyaksikan Premier Sarawak berkenaan memperoleh penggal kedua sebagai Adun Gedong selepas beliau menjadi satu-satunya calon yang dinamakan bagi kerusi berkenaan pada hari penamaan calon, hari ini.

Abang Johari, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), mula menyertai politik pilihan raya apabila memenangi pilihan raya kecil bagi kerusi Satok pada 1981.

Beliau kemudian mempertahankan kerusi berkenaan dalam beberapa siri pilihan raya negeri sebelum beralih ke Gedong pada PRN 2021.

Pada PRN 2021, komposisi pengundi di Gedong terdiri daripada 61 peratus Bumiputera Islam dan 37 peratus Bumiputera bukan Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari sebelum ini memberi bayangan bahawa penggal akan datang mungkin menjadi yang terakhir buat beliau, selain mengakui proses peralihan kepimpinan dalam parti adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Beliau mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 2017 selepas kematian penyandang terdahulu, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Jawatan tertinggi kerajaan negeri itu kemudian ditukar kepada Premier Sarawak pada Februari 2022, sekali gus menjadikan Abang Johari pemimpin pertama menyandang gelaran berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles