Zahid Yakin Kemelut Politik Negeri Sembilan Berakhir Dengan Pelantikan Enam Exco Baru

BAGAN DATUK: UMNO dan Barisan Nasional (BN) berharap kemelut politik di Negeri Sembilan yang berlarutan sebelum ini tidak lagi berulang susulan pelantikan semula Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar serta enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu, hari ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelantikan berkenaan membolehkan pentadbiran kerajaan negeri kembali berfungsi sepenuhnya, sekali gus memberi tumpuan kepada tanggungjawab terhadap rakyat.

Beliau berkata, antara keutamaan kerajaan negeri ketika ini ialah memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar, termasuk mengadakan sidang khas Belanjawan di Dewan Undangan Negeri (DUN), selain menyelaras tugas semua jabatan dan agensi kerajaan.

Katanya, pelantikan itu juga penting bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan negeri selepas berdepan kemelut politik.

“Kita harapkan dengan pelantikan Exco ini, ia akan dapat melunaskan semula segala pertanggungjawaban kerajaan Negeri Sembilan, bukan saja untuk mengadakan sidang khas belanjawan di Dewan Undangan Negeri, tetapi juga kepada semua jabatan dan agensi kerajaan serta kumpulan sasaran di peringkat daerah, mukim dan kampung.

“Paling penting ialah rasa keyakinan rakyat keseluruhannya kepada kerajaan atas perkenan Tuanku ini.

“Saya yakin kemelut ini telah berakhir dan kita harap tidak akan timbul sebarang permasalahan baharu selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Himpunan Huffaz 26K 2026 dan Bagan Datuk Bermunajat, hari ini.

Mengulas pendirian kepemimpinan BN Pusat berhubung penyelesaian kemelut berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata lima pemimpin utama sudah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, semalam dalam suasana perbincangan yang tenang.

Beliau turut menyifatkan keputusan yang diperkenankan Tuanku Muhriz sebagai ketetapan yang perlu dihormati dan disokong semua pihak.

“Apa yang sudah diputuskan oleh Tuanku itu ialah satu keputusan yang terbaik dan rakyat keseluruhannya harus mendukung apa yang sudah diperkenan dan dititahkan oleh Tuanku,” katanya.

Terdahulu, Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan enam Exco Negeri Sembilan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini.

Empat daripada Exco yang dilantik ialah wakil BN, iaitu Suhaimi Aini (Kota), Mohamad Qayyum Abd Jalil (Senaling), Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir (Jeram Padang) dan Koh Kim Swee (Repah-MCA).

Dua lagi jawatan Exco disandang Ridzuan Ahmad, ADUN Gemas daripada WAWASAN, serta Abdul Fatah Zakaria, ADUN Bagan Pinang daripada PAS.

BBerkaitan

Latest articles