ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka mengajak ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan) atau PAS kerana mendakwa parti berkenaan tidak lagi mempunyai masa depan politik di Kedah.
Beliau berkata, ahli Bersatu yang tidak mempunyai hala tuju politik boleh mempertimbangkan untuk bersama Wawasan atau PAS bagi memperkukuhkan kerjasama politik di negeri itu.
“Mai duk dengan Wawasan ni. Kalau tak mahu masuk Wawasan, masuk PAS.
“BERSATU pun tak dak, tak dak masa depan dah. Di Kedah ni Datuk Wan Saiful tak dak, ruyup terus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam 75 Tahun PAS Kedah malam tadi.
Hadir sama, Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya dan Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Dalam ucapannya, Sanusi turut mengkritik tindakan Bersatu yang didakwa mengambil pendekatan tidak menguntungkan kerjasama politik pembangkang.
Menurutnya, parti itu sepatutnya menghentikan tindakan berkenaan dan kembali memberi tumpuan kepada kerjasama dalam gabungan politik sedia ada.
Dalam perkembangan sama, Sanusi menyindir Pakatan Harapan (PH) dengan menyamakan kerajaan gabungan itu seperti sebuah motosikal yang menggunakan banyak minyak tetapi tidak bergerak laju kerana penunggangnya tidak berani melepaskan klac.
Beliau turut mengkritik PKR dan beberapa pemimpinnya, selain mengajak parti-parti yang mempunyai kepentingan politik di Kedah supaya mengetepikan perbezaan demi kepentingan negeri dan rakyat.
Sanusi turut menyatakan hasrat untuk memastikan gabungan pembangkang memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang dengan menyasarkan penguasaan kesemua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.
“Insya-Allah, kita pakatlah sama-sama kita di Kedah ni, kita benam terus PH ni. Kita ajar betul-betul PKR ni.
“Mai kita pakat sama-sama kita atas kepentingan Kedah, rakyat Kedah, negeri ni. Kita duduk elok-elok insya-Allah tuan-tuan, Parlimen 15-0, DUN 36-0,” katanya.










