KUALA LUMPUR: Isu pembaharuan pajakan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) tidak seharusnya dipolitikkan sehingga dijadikan polemik perkauman, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks pemeliharaan warisan sejarah negara.
Timbalan Presiden Muda, Zaidel Baharuddin berkata, KLSCAH mempunyai hubungan sejarah yang lebih rapat dengan UMNO berbanding DAP, mengambil kira peranannya dalam pembentukan kerjasama politik antara UMNO dan MCA yang kemudiannya berkembang menjadi Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, dewan berkenaan menjadi lokasi penubuhan MCA pada 27 Februari 1949, selain menjadi tempat berlangsungnya rundingan awal antara MCA dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1952.
Rundingan itu kemudian membawa kepada pembentukan Parti Perikatan sebelum gabungan berkenaan berkembang menjadi BN pada 1973.
“Kalau nak ikutlah dari segi sejarah, KLSCAH lagi dekatlah dengan UMNO daripada DAP,” katanya dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap yang dikendalikannya bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Zaidel turut mengingatkan bahawa dewan berkenaan mempunyai nilai sejarah tersendiri, termasuk pernah menjadi lokasi majlis resepsi perkahwinan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan isteri pertamanya, Allahyarhamah Endon Mahmood pada 1965.
Mengulas kontroversi pembaharuan pajakan KLSCAH, Zaidel berkata, perkara itu tidak wajar ditafsirkan semata-mata sebagai tindakan seorang menteri daripada DAP memberikan kelebihan kepada masyarakat Cina.
Sebaliknya, beliau melihat keputusan memelihara bangunan berusia 103 tahun itu sebagai usaha mempertahankan warisan budaya yang turut menjadi sebahagian daripada sejarah Malaysia.
Menurutnya, komitmen masyarakat Cina dalam memelihara bangunan dan identiti warisan mereka boleh dijadikan contoh kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.
“Mungkin ramai tak setuju tetapi pada pandangan saya, kelonggaran itu wajar diberikan kerana warisan budaya dan sejarah Malaysia ini termasuk kepada orang yang bukan Melayu juga.
“Kalau dewan itu melambangkan identiti masyarakat berkenaan, maka saya kata wajarlah,” katanya.
Sementara itu, Shahril bersetuju bahawa isu berkenaan tidak sepatutnya dijadikan pertikaian berasaskan kaum, memandangkan pembaharuan pajakan itu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau menjelaskan, kerajaan mempunyai asas perundangan untuk mengenakan premium nominal RM1,000 berdasarkan Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1995.
Malah, peruntukan sama turut memberikan kemudahan kepada orang Melayu dan institusi Islam menerusi kadar bayaran nominal RM1,000 bagi setiap lot tanah yang menempatkan bangunan untuk kegunaan Kerajaan Persekutuan serta majlis agama Islam.
Untuk rekod, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh pada 14 November lalu mengumumkan kelulusan pembaharuan pajakan KLSCAH selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000, berbanding anggaran premium terdahulu hampir RM4.67 juta.
Keputusan itu mencetuskan polemik selepas beberapa pihak, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh mempersoalkan pengurangan premium berkenaan dengan alasan nilai tanah masih dianggarkan RM4.67 juta.
Bagaimanapun, Hannah menjelaskan keputusan itu dibuat selepas KLSCAH secara sukarela menukar status tanah berkenaan kepada kegunaan institusi, sekali gus mengehadkan penggunaannya bagi pembangunan berskala besar pada masa hadapan.
Beliau turut memaklumkan keputusan itu diputuskan menerusi jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, selain tujuh pertubuhan lain di Kuala Lumpur turut menerima pembaharuan pajakan selama 99 tahun dengan premium nominal.










