Istiadat Angkat Sumpah Exco Negeri Sembilan Berlangsung Esok

SEREMBAN: Teka-teki mengenai hala tuju kepemimpinan Negeri Sembilan semakin hampir terjawab apabila pihak istana menjadualkan istiadat mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada pagi esok.

Istiadat itu dijadual berlangsung pada jam 9 pagi di Istana Besar Seri Menanti, berdasarkan jemputan media yang diedarkan pihak istana petang ini.

Perkembangan berkenaan dilihat sebagai petunjuk bahawa kerajaan negeri bakal mempunyai semula barisan Exco selepas lebih dua bulan berdepan kekosongan susulan pembatalan pelantikan kesemua 10 ahli sebelum ini.

Walaupun jemputan itu tidak menyatakan jumlah serta nama Adun yang akan mengangkat sumpah, ia turut menimbulkan spekulasi bahawa Adun Juasseh, Datuk Ismail Lasim, akan terus kekal sebagai Menteri Besar.

Perkembangan itu menyusul selepas Ismail dan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Hinggap, hari ini.

Zahid hadir bersama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sebelum ini, kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar menjadi persoalan selepas BN mengumumkan beliau melepaskan jawatan itu minggu lalu.

Namun, Ismail tampil menafikan dakwaan berkenaan dengan menegaskan beliau tidak pernah mengemukakan peletakan jawatan kepada pihak istana.

Kekosongan barisan Exco pula bermula selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 ahli pada 20 September lalu, menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri berjalan tanpa barisan kepemimpinan Exco.

Tindakan itu turut mencetuskan pertikaian undang-undang apabila 10 Adun daripada BN dan PN memfailkan saman bagi mencabar keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, mereka kemudian menarik balik saman tersebut susulan dakwaan bahawa Ismail sudah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Mahkamah Tinggi Seremban sebelum ini menjelaskan bahawa peletakan jawatan Ismail masih belum disahkan, namun kesemua 10 Adun terbabit tetap meneruskan keputusan menarik balik saman berkenaan.

Pembatalan pelantikan Exco itu dibuat selepas mereka mempertahankan tindakan menyingkirkan Tuanku Muhriz pada April lalu, selain mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu Negeri Sembilan.

Pendirian itu bagaimanapun ditolak pihak istana yang berpandangan tindakan berkenaan bertentangan dengan sumpah taat setia kepada Yang Dipertuan Besar serta institusi diraja.

BBerkaitan

Latest articles