KUALA LUMPUR: Penggunaan aset ketenteraan untuk kegiatan penyeludupan dadah bukan sahaja mendedahkan kelemahan kawalan keselamatan, malah membongkar kemungkinan wujudnya rangkaian jenayah terancang yang berakar umbi sejak beberapa tahun lalu.
Lebih mengejutkan, sindiket yang membabitkan beberapa anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu dipercayai menggunakan pesawat tentera sebanyak 21 kali bagi menyeludup kira-kira tiga tan metrik methamphetamine dengan anggaran nilai pasaran RM156 juta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kegiatan itu membabitkan dua sindiket yang beroperasi di Tawau dan Labuan.
Menurutnya, sindiket di Tawau menggunakan aset tentera sebanyak tujuh kali untuk menyeludup 1.8 tan metrik dadah, manakala kumpulan di Labuan melakukan kegiatan sama sebanyak 14 kali dengan jumlah rampasan dadah dianggarkan 1.2 tan metrik.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu sudah berlangsung selama beberapa tahun dan membabitkan rangkaian sindiket berskala besar yang mempunyai struktur tersusun.
“Dan ia melibatkan satu sindiket besar yang establish. Sebahagian daripadanya kita dah tangkap, dah tuduh, dah penjara. Sebahagiannya masih bebas,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Saifuddin berkata, siasatan berkenaan berpotensi mendedahkan rangkaian jenayah terancang yang lebih luas, termasuk kemungkinan penglibatan individu berprofil tinggi.
Tegasnya, tiada pihak akan terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti terbabit, tanpa mengira pangkat mahupun kedudukan.
Beliau turut memaklumkan polis tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membantu siasatan, yang ketika ini dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengulas operasi membanteras sindiket itu, Saifuddin berkata, polis mula mengumpul maklumat risikan sejak Januari sebelum berkongsi hasil siasatan dengan pihak angkatan tentera pada September dan Oktober lalu.
Perkongsian maklumat itu membawa kepada operasi serbuan pada 17 November lalu yang menyaksikan penahanan lima pegawai tentera udara, dua anggota lain-lain pangkat serta enam orang awam.
Operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan 96.64 kilogram methamphetamine bernilai RM4.83 juta.
Bagaimanapun, ketua sindiket terbabit sudah dikenal pasti tetapi masih belum diberkas.
Menurut Saifuddin, siasatan setakat ini mengesahkan penglibatan suspek yang mempunyai akses serta hubungan dengan anggota tentera dan operasi penerbangan.
Polis kini memperluas siasatan bagi mengenal pasti semua pihak yang berperanan membiayai, merancang dan melaksanakan kegiatan penyeludupan berkenaan.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendedahkan pemeriksaan bagasi rutin di pangkalan udara Subang membawa kepada penemuan lima beg dan sebuah kotak mengandungi dadah, selain penahanan lima pegawai tentera udara.










