Anwar: Kerajaan Fokus Perbaiki Prestasi Dalam Tempoh Berbaki Setahun

PUTRAJAYA: Baki tempoh lebih setahun pentadbiran Kerajaan Madani perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperbaiki kelemahan dan meningkatkan keberkesanan penyampaian kerajaan kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau komited memberikan khidmat terbaik sepanjang tempoh berbaki sebelum penggal pentadbiran semasa berakhir.

“Insya-Allah, kita akan buat sebaik mungkin dan kita perbaiki prestasi kita. Kita ada setahun lebih lagi,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini, ketika ditanya mengenai perancangannya selepas genap empat tahun menerajui Kerajaan Madani dan menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu, Anwar menyempurnakan Peluncuran Prakarsa Kecerdasan Buatan (AI) Pendidikan Negara, AI Temu AI, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kenyataan itu hadir sehari selepas Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui masih terdapat kelemahan dalam pentadbiran Kerajaan Madani yang perlu ditangani, selain harapan rakyat yang belum dipenuhi sepenuhnya.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, baki setahun pentadbiran perlu menjadi fasa pecutan terakhir untuk mempercepat pelaksanaan reformasi, memperkukuh ekonomi serta memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati rakyat.

Beliau berkata, kerajaan sudah membina asas dari segi kestabilan politik dan tatakelola sepanjang empat tahun lalu, namun usaha berkenaan perlu diteruskan dengan lebih pantas supaya manfaatnya dapat dirasai dalam kehidupan seharian rakyat.

Menurutnya, empat keutamaan pentadbiran kerajaan merangkumi kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, kebajikan rakyat serta tatakelola yang baik.

Saifuddin turut menegaskan kerajaan perlu terus terbuka menerima teguran dan kritikan bagi memperbaiki kelemahan serta meningkatkan keberkesanan pentadbiran.

Anwar genap empat tahun mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

BBerkaitan

Latest articles