KUALA LUMPUR: Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) boleh mengemukakan permohonan rasmi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan bantuan menunda kenderaan terbiar yang menghalang penggunaan petak parkir di kawasan perumahan strata.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, PBT boleh memberikan bantuan penundaan sekiranya terdapat permohonan rasmi atau kerjasama strategik daripada pihak pengurusan premis berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan PBT ketika ini tidak mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan secara langsung terhadap kenderaan terbiar di kawasan skim perumahan strata persendirian.
“Kawasan perumahan berstrata yang dikawal selia oleh pihak pengurusan seperti pemaju, JMB atau MC adalah tertakluk di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) serta Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai) mengenai tindakan kerajaan terhadap kenderaan terbiar yang menggunakan petak parkir terlalu lama sehingga menjejaskan kemudahan penduduk.
Menurut Nga, pihak pengurusan juga boleh mengenakan denda terhadap pemilik petak yang melanggar undang-undang kecil, manakala kos penundaan dan penyimpanan kenderaan boleh dituntut sebagai tunggakan yang perlu dijelaskan.
Sekiranya pemilik kenderaan enggan memberikan kerjasama atau mempertikaikan tindakan berkenaan, JMB atau MC boleh memfailkan kes di Tribunal Pengurusan Strata (TPS) bagi mendapatkan perintah penguatkuasaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, JMB atau MC juga boleh memohon tindakan bersepadu bersama PBT, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengalihkan kenderaan buruk yang tidak dituntut.
Tambahnya, penglibatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) turut boleh membantu melancarkan proses pengalihan, terutama apabila kenderaan terbiar menjejaskan keselamatan komuniti termasuk menghalang laluan kecemasan kebakaran.
Sementara itu, Nga berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti penambahbaikan Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Terbiar yang dikeluarkan pada 2020.
“Antara cadangan yang diteliti ialah memperluas skop kawasan penguatkuasaan PBT terhadap kenderaan terbiar kepada kawasan perumahan strata persendirian melalui pindaan akta berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang bagi membolehkan isu kenderaan terbiar di kawasan perumahan dan rumah pangsa ditangani dengan lebih berkesan.










