KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) melahirkan rasa kecewa susulan pengurangan peruntukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebanyak RM61.74 juta bagi 2027, sedangkan peruntukan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) ditingkatkan.
Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, keputusan itu bertentangan dengan usaha persatuan berkenaan yang sebelum ini berulang kali mengemukakan justifikasi kepada kerajaan mengenai keperluan meningkatkan peruntukan RTM.
Menurutnya, tambahan peruntukan itu penting bagi membolehkan lebih banyak program televisyen tempatan dibeli daripada syarikat penerbitan swasta sekali gus menjamin kelangsungan industri kreatif.
“Selama ini, PTVM sentiasa mengemukakan justifikasi kepada kerajaan mengenai keperluan meningkatkan peruntukan RTM bagi membolehkan lebih banyak program televisyen tempatan dibeli daripada syarikat penerbitan swasta. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, isu sama turut dibangkitkan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dalam kunjungan hormat kepada PTVM pada Isnin.
Katanya, kedua-dua persatuan yang mewakili kepentingan majikan dan pekerja industri kreatif itu sependapat bahawa peningkatan peruntukan RTM penting bagi menjamin kelangsungan industri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Jurey berkata, kerajaan perlu melihat penggiat industri kreatif bukan sekadar sebagai penghibur, sebaliknya rakan strategik dalam menyampaikan dasar, inisiatif dan aspirasi negara kepada rakyat.
“Melalui drama, dokumentari, telefilem dan pelbagai bentuk kandungan kreatif, penggiat industri mempunyai kepakaran menyampaikan mesej kerajaan secara lebih kreatif, berkesan dan dekat dengan kehidupan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, pengukuhan RTM dan pemerkasaan industri kreatif seharusnya diberikan keutamaan lebih besar kerana mampu memberikan manfaat kepada kerajaan serta ekonomi rakyat.
Beliau berkata, RTM merupakan antara sumber utama pendapatan syarikat penerbitan dan penggiat industri televisyen tempatan.
Jelasnya, pengurangan peruntukan yang menjejaskan pembelian program tempatan akan memberi kesan kepada keseluruhan rantaian pekerja industri termasuk pelakon, pengarah, penulis skrip, jurukamera, penyunting dan kru teknikal.
“Kerajaan perlu mendengar suara kami. Kami bukan sekadar memperjuangkan kepentingan syarikat penerbitan, tetapi memperjuangkan periuk nasi seluruh rantaian pekerja industri kreatif,” katanya.
Sehubungan itu, PTVM mengemukakan empat tuntutan kepada kerajaan termasuk meneliti semula pengurangan peruntukan RTM bagi 2027 dan meningkatkan peruntukan khusus untuk pembelian program televisyen tempatan daripada syarikat penerbitan swasta.
Persatuan itu turut menggesa peluang perolehan diperluaskan bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan serta mengiktiraf penggiat industri kreatif sebagai rakan strategik kerajaan dalam penyampaian dasar dan inisiatif kepada rakyat.
“Kami tidak meminta bantuan untuk terus bergantung kepada kerajaan. Kami menuntut peluang untuk bekerja, berkarya, mencari rezeki dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.










