Dana Kajian Ketum Lebih RM2 Juta Dibazirkan – PAC

KUALA LUMPUR: Kegagalan penyelarasan antara kementerian menyebabkan peruntukan melebihi RM2 juta bagi kajian industri ketum dibazirkan selepas projek berkenaan terpaksa dihentikan di pertengahan jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, pembaziran itu berlaku susulan kegagalan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memuktamadkan komunikasi dan perancangan awal bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, perkara itu antara enam kelemahan sistemik yang dikenal pasti PAC menerusi penelitian terhadap program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) negara.

“Pembaziran akibat budaya kerja bersilo. Kegagalan memuktamadkan komunikasi dan juga perancangan awal bersama Kementerian Kesihatan Malaysia menyebabkan pembaziran dana peruntukan melebihi RM2 juta oleh MARDI dan juga KPKM bagi kajian industri ketum yang terpaksa dihentikan di pertengahan jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen pada Isnin selepas membentangkan penyata PAC berhubung program RDCI susulan penemuan kritikal dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 1 Tahun 2026.

Mas Ermieyati berkata, pengauditan berkenaan melibatkan enam kementerian utama iaitu Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta KPKM.

Beliau berkata, PAC turut mendapati ekosistem RDCI negara berdepan masalah tadbir urus, kelemahan perancangan strategik dan kekurangan kepimpinan teknikal yang berisiko menjejaskan daya saing teknologi perindustrian Malaysia.

Antara penemuan lain termasuk baki geran penyelidikan berjumlah RM183.11 juta di 11 agensi pelaksana yang gagal dipulangkan, manakala KPT secara kumulatif merekodkan baki dana terkumpul melebihi RM225 juta yang terbiar hampir dua dekad.

Selain itu, sebanyak 19 unit prototaip perubatan iBreath bernilai RM1.6 juta di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dilaporkan hilang dan tidak dapat dikesan.

PAC turut mendapati MARDI membelanjakan RM33.80 juta atau 26.9 peratus daripada dana RDCI untuk perbelanjaan mengurus, termasuk tuntutan perjalanan dan elaun kakitangan kontrak.

Dalam pada itu, kelewatan 15 bulan projek naik taraf bangunan yang terjejas akibat kulat dan asbestos beracun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menjejaskan 27 projek penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain menyebabkan kerajaan menanggung kos tambahan RM1.81 juta bagi sewaan makmal luar.

Sehubungan itu, PAC mengemukakan enam syor penambahbaikan kepada kerajaan termasuk mewajibkan pemulangan baki geran dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas projek selesai serta mengenakan penalti bajet atau sekatan geran baharu kepada agensi yang gagal mematuhinya.

PAC turut mencadangkan setiap permohonan geran pengkomersialan disokong penglibatan rakan industri melalui komitmen kewangan, selain mewujudkan platform pelaburan strategik nasional bagi menghubungkan hasil penyelidikan tempatan dengan pelabur.

Mas Ermieyati berkata, kerajaan tidak boleh lagi sekadar meluluskan peruntukan tanpa memantau kejayaan dan hasil sebenar sesuatu projek.

“Kerajaan tidak lagi boleh sekadar meluluskan peruntukan tanpa memantau kejayaan dan juga hasil sebenar sesuatu projek,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles