KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan kenyataan seorang wakil rakyat yang mengkritik tindakan menutup sementara premis perniagaan di Terengganu bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Beliau berkata, walaupun individu berkenaan sudah memohon maaf, tindakan lanjut berhubung perkara itu diserahkan kepada pihak polis berdasarkan hasil siasatan.
“Saya tidak setuju. Itu jelas. Walaupun kini dah minta maaf, itu saya serah kepada siasatan apakah satu kenyataan yang dibuat setelah mohon maaf itu keputusan PDRM.
“Cuma dia segera minta maaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam soalan tambahannya, Rosol dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mencetuskan kontroversi selepas mengkritik tindakan premis perniagaan di Terengganu ditutup dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.
Rosol turut membangkitkan isu kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkaitan Sultan Selangor dan isu penternakan babi, selain mempersoalkan tindakan siasatan yang didakwa tidak konsisten.
Beliau turut menyentuh siasatan terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang berhubung sajak yang ditafsirkan menghina institusi diraja.
Menjawab perkara itu, Anwar berkata, beliau tidak mempertahankan kenyataan bekas Ahli Parlimen berkenaan, manakala isu tempoh siasatan boleh dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak pendakwaan.
Berhubung sajak Ahli Parlimen Pasir Gudang, beliau berkata, siasatan perlu diteruskan kerana perkara itu ditafsirkan sebagai penghinaan terhadap institusi diraja.
“Sajak Pasir Gudang itu kalau tanya saya sebagai sahabat, saya tidak cenderung tetapi sajak itu ditafsir sebagai menghina institusi raja. Jadi siasatan harus diteruskan.
“Isu yang menyentuh institusi raja selalunya itu disegerakan. Itu saya harus akui,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa tidak semua siasatan berkaitan institusi diraja berakhir dengan pendakwaan di mahkamah kerana pihak terbabit perlu diberi ruang untuk menjelaskan maksud sebenar kenyataan atau tindakan mereka.
Beliau turut menolak dakwaan wujud layanan berbeza dalam tindakan penguatkuasaan dengan menjelaskan bahawa sesiapa sahaja boleh disiasat sekiranya terdapat laporan polis.
“Ini dalam sistem kita tidak sesiapa yang berkecuali untuk ditanya dan disiasat kalau ada laporan polis,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan asal Rosol mengenai pendirian kerajaan dalam memastikan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) tidak dipolitikkan, Anwar berkata, perkara berkenaan sering dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi memastikan keharmonian masyarakat serta menghormati prinsip Raja Berperlembagaan.
Menurutnya, pemantauan isu berkenaan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), selain dirujuk kepada badan penasihat termasuk Majlis Penasihat Perpaduan Negara.
Anwar turut memberikan beberapa contoh kes yang sudah melalui tindakan undang-undang, termasuk kes memijak al-Quran yang membawa hukuman penjara sembilan bulan serta penghinaan terhadap masyarakat dan keturunan Cina yang membawa hukuman penjara dua bulan.
Beliau berkata, sebarang dakwaan penyalahgunaan kuasa atau tindakan berasaskan kepentingan politik boleh dibangkitkan untuk penelitian, namun prinsip melindungi sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja tidak seharusnya diketepikan.
“Kalau ada kes-kes tertentu di mana ditafsirkan sebagai salah guna kuasa atau kepentingan politik itu boleh dirujuk. Tapi jangan ditolak 3R dari segi prinsipnya,” katanya.










