Turki Belum Sedia Terima 10,000 Pelarian Rohingya – Anwar

KUALA LUMPUR: Turki belum bersedia mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya yang kini berada di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden Turki ketika pertemuan mereka dua hari lalu.

Menurutnya, kerajaan Turki memberikan alasan negara itu kini menanggung lebih empat juta pelarian dari negara Teluk, negara Arab dan beberapa negara jiran.

“Saya dapat pengesahan daripada Presiden Turki dua hari yang lalu bahawa mereka belum bersedia menimbangkan.

“Malaysia memohon supaya perkara itu dipertimbangkan bagi menyelesaikan sebahagian daripada masalah kita, tetapi pihak Turki secara rasminya belum bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Hassan meminta penjelasan sama ada benar Turki bersetuju menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.

Anwar berkata, usaha mendapatkan negara ketiga untuk menempatkan pelarian berkenaan adalah selaras dengan pendirian Malaysia yang mahu mencari penyelesaian terhadap isu pelarian, termasuk melalui negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Beliau menjelaskan, cadangan berkenaan turut dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri berdasarkan pertimbangan bahawa Turki mempunyai sejarah membantu dan menerima pelarian dari negara Islam.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Turki menjelaskan mereka belum bersedia menerima tambahan pelarian berikutan beban tanggungan sedia ada.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Hassan mengenai keputusan Malaysia menjemput ketua kerajaan Myanmar ke negara ini, Anwar berkata, Malaysia menghormati keputusan mahkamah antarabangsa dan kekal mempertahankan hak asasi manusia tanpa mengira negara.

Beliau berkata, keputusan menjemput pemimpin Myanmar dibuat sebelum keputusan mahkamah berkenaan dan bertujuan mencari penyelesaian terhadap isu pelarian Myanmar yang berada di Malaysia.

Katanya, Malaysia mempunyai hampir 200,000 pelarian Myanmar, sebahagiannya menjadi mangsa kekejaman rejim negara itu.

“Apakah dengan mengundang Presiden Myanmar, Aung Lai ke Malaysia itu membantu menyelesaikan masalah negara? Jawabnya ya.

“Kerana tidak berkesudahan mengharapkan negara ketiga, tidak berhasil dan mengharapkan mereka dibawa pulang dengan mudah pun tidak berlaku. Jadi kita runding,” katanya.

Anwar berkata, hasil rundingan itu menyaksikan seramai 10,476 rakyat Myanmar telah dibawa pulang ke negara asal masing-masing setakat ini dengan kos ditanggung kerajaan Myanmar.

Menurutnya, sebahagian besar kepulangan itu dilaksanakan menggunakan pesawat, manakala 1,476 orang dibawa pulang menggunakan kapal perang Myanmar pada 29 September lalu.

Beliau berkata, Menteri Luar turut meluluskan penggunaan tiga kapal angkatan laut Myanmar bagi membawa pulang 1,500 rakyat negara itu pada 6 dan 7 Disember ini.

Selain itu, seramai 5,303 rakyat Myanmar dijadual dibawa pulang menggunakan pesawat sepanjang Disember ini dengan kos ditanggung kerajaan negara berkenaan.

Anwar menegaskan, rundingan dengan Myanmar tidak bermakna Malaysia mengetepikan pendirian berhubung isu hak asasi manusia dan krisis etnik di negara itu.

“Kita tidak pernah dengan kerjasama yang diperoleh daripada kerajaan Myanmar itu meninggalkan prinsip kita, bantahan kita, pendirian kita seperti yang disuarakan dan mengekalkan Five-Point Consensus yang diterima pakai oleh semua negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia akan terus menyuarakan keprihatinan terhadap penganiayaan kumpulan etnik di Myanmar, termasuk Rohingya, selain mengekalkan pendirian ASEAN menerusi Konsensus Lima Perkara (Five-Point Consensus).

BBerkaitan

Latest articles