KUALA LUMPUR: Kerajaan menjelaskan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memerlukan penyertaan kira-kira 900,000 syarikat untuk mengutip cukai bagi pihak kerajaan berbanding hanya 130,000 syarikat di bawah sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, perbezaan jumlah syarikat yang terlibat itu antara perkara perlu diteliti sebelum kerajaan mempertimbangkan sebarang perubahan terhadap sistem percukaian negara.
Menurutnya, perbandingan antara kedua-dua sistem percukaian itu wajar dibahaskan bagi memahami keperluan dan kesan pelaksanaannya.
“Saya dengar ada idea untuk melaksanakan GST semula. Yang penting ialah kita mesti meninjau dalam sistem kita kenapa kita melaksanakan satu sistem percukaian.
“Sistem sekarang melibatkan 130,000 syarikat untuk mengutip SST bagi pihak kerajaan, tetapi sistem GST kalau dilaksanakan memerlukan 900,000 syarikat untuk mengutip GST bagi pihak kerajaan.
“Ini satu perbandingan dan ada banyak lagi perbandingan yang saya harap boleh dibahaskan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula GST dalam tempoh terdekat.
Mohd Sany turut membangkitkan kemampuan kerajaan meneruskan pelbagai inisiatif bantuan kepada rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), ketika negara berdepan komitmen pembayaran hutang.
Sementara itu, Liew berkata, tahun 2026 merupakan ujian besar kepada ekonomi negara susulan kejutan ekonomi global yang disifatkannya paling serius sejak krisis kewangan global 2008.
Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) membantu melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga bahan api di pasaran dunia, selain memastikan kedudukan fiskal negara terus terpelihara.
“BUDI95 telah memastikan rakyat dilindungi daripada kejutan kenaikan harga bahan api sedunia dan juga memastikan ketirisan tidak berlaku dalam sistem ini,” katanya.
Terdahulu, menjawab soalan asal Mohd Sany mengenai sejauh mana prestasi ekonomi negara diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, Liew berkata, pertumbuhan ekonomi perlu dinilai berdasarkan peningkatan pendapatan sebenar, kuasa beli dan taraf kehidupan isi rumah.
Beliau berkata, ekonomi negara berkembang pada kadar purata 4.6 peratus bagi tempoh 2023 hingga 2025, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan melebihi lima peratus pada 2024 dan 2025.
Menurutnya, jumlah pekerja turut meningkat daripada 15.8 juta orang pada 2023 kepada 16.6 juta orang pada 2025, manakala kadar pengangguran menurun daripada 3.4 kepada tiga peratus.
Katanya, kerajaan turut memberi tumpuan kepada lima bidang utama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, termasuk meningkatkan pendapatan menerusi pelaksanaan gaji minimum RM2,000.
Selain itu, kerajaan memperkukuh bantuan STR, SARA dan BUDI MADANI, membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mengawal harga barangan keperluan serta menilai perubahan pendapatan sebenar dan perbelanjaan isi rumah.










