BN Serah Kepada Tuanku Muhriz Tentukan MB Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan campur tangan dalam urusan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya keputusan itu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu dan UMNO tidak pernah bertindak melanggar Perlembagaan Negeri dalam menangani kemelut politik yang sedang berlaku.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada BN akan menyokong Datuk Ismail Lasim untuk terus menjawat jawatan Menteri Besar selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA, hari ini.

“Kita serahkan kepada Tuanku,” katanya.

Zahid turut berharap kemelut politik negeri itu dapat diselesaikan segera bagi memastikan kerajaan negeri dapat meneruskan urusan pentadbiran, khususnya pembentangan dan kelulusan Belanjawan Negeri 2027.

Belanjawan yang sepatutnya dibentangkan pada 16 Oktober lalu ditangguhkan dan kini dijadual berlangsung pada 27 November, selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersambung pada 26 November.

Kontroversi kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar tercetus susulan dakwaan surat peletakan jawatannya tidak pernah dikemukakan atau mendapat kebenaran beliau sendiri.

Ismail sebelum ini dilaporkan akan kekal memegang jawatan itu atas arahan Tuanku Muhriz, selepas menghadap baginda pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan menjelaskan dakwaan bahawa Tuanku Muhriz mahu Ismail kekal sebagai Menteri Besar adalah tidak tepat, memandangkan Ismail sendiri memaklumkan bahawa beliau belum meletakkan jawatan.

Istana turut menegaskan Ismail perlu membuktikan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), selain mengemukakan senarai anggota Exco untuk pertimbangan baginda.

Kemelut itu turut menyebabkan Negeri Sembilan tidak mempunyai barisan Exco sejak 20 September lalu, selepas kesemua 10 anggota kerajaan negeri dilucutkan jawatan kerana didakwa melanggar sumpah jawatan dengan menyokong deklarasi yang mendesak Tuanku Muhriz melepaskan takhta.

Mereka terdiri daripada lapan wakil BN dan dua wakil Perikatan Nasional (PN).

BBerkaitan

Latest articles