KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan risiko tindakan Amerika Syarikat (AS) sekiranya gagal mematuhi sekatan ekonomi yang dikenakan Washington terhadap Iran.
Amaran itu disampaikan menerusi pertemuan pegawai Jabatan Perbendaharaan AS dengan pihak berkuasa kerajaan Malaysia dan Singapura minggu ini, termasuk badan pengawal selia serta agensi keselamatan negara.
Menurut laporan Reuters pada Jumaat, Washington turut menggesa firma guaman dan institusi perbankan yang beroperasi di kedua-dua negara supaya lebih berwaspada terhadap syarikat yang dipercayai menjadi entiti hadapan Iran.
Seorang pegawai Jabatan Perbendaharaan AS berkata, pihaknya mahu pemeriksaan lebih ketat dilaksanakan terhadap sektor berisiko tinggi termasuk pengangkutan maritim, perkhidmatan penerbangan dan rangkaian perolehan bagi memastikan sektor berkenaan tidak digunakan untuk membantu kepentingan Iran.
“Kami mahu perkara ini difahami, bahawa kami akan menyasarkan rangkaian yang menjadi talian hayat ini dan tiada rundingan apabila kami mengenal pasti rangkaian yang perlu disasarkan,” katanya.
Laporan itu menyebut, AS meningkatkan usaha menyekat kepentingan perniagaan Tehran di luar negara sejak negara itu bersama Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari lalu.
Antara perkara yang menjadi perhatian Washington ialah aktiviti pemindahan minyak antara kapal (ship-to-ship transfer) di perairan sekitar Malaysia, Singapura dan Indonesia yang didakwa digunakan untuk menyembunyikan asal usul minyak Iran.
Malaysia sebelum ini menyatakan akan memperketat penguatkuasaan peraturan berkaitan aktiviti pemindahan minyak berkenaan.
Pada Februari lalu, pihak berkuasa Malaysia turut merampas dua kapal tangki bersama muatan masing-masing.
Selain sektor perkapalan, AS turut membangkitkan isu operasi penerbangan syarikat penerbangan Iran ke Malaysia.
Pegawai Perbendaharaan AS berkata, pihaknya telah membangkitkan perkara itu kepada pihak berkuasa Malaysia berikutan masih terdapat syarikat penerbangan Iran yang mengendalikan penerbangan ke negara ini.
Berdasarkan rekod penerbangan awam, Reuters mengenal pasti Iran Airtour sebagai syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan berjadual antara Tehran dan Kuala Lumpur, dengan penerbangan terakhir yang direkodkan beroperasi pada 14 November lalu.
Bagaimanapun, penerbangan yang dijadualkan pada 17 November tidak berlepas.
Iran Airtour tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan komen Reuters.
Laporan itu turut mendedahkan AS pada 8 September lalu mengenakan sekatan terhadap puluhan syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Britain, Malaysia, Turkiye dan Kazakhstan yang didakwa menyokong sektor penerbangan Iran untuk memindahkan senjata, anggota serta kargo haram.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia dan Singapura melaksanakan sekatan terhadap Iran yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kerajaan Singapura dalam kenyataannya menyatakan komitmen untuk menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada menyalahgunakan struktur korporat negara itu, selain memperkukuh pemantauan dalam sektor maritim dan kewangan.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu..










