KUALA LUMPUR: Kasut berharga kira-kira RM43 yang dibeli dari China tidak menghalang Ariffin Abdul Manan, 60, daripada menamatkan cabaran IRONMAN 70.3 Langkawi, sekali gus membuktikan kemampuan dirinya dalam acara ketahanan fizikal itu.
Lebih menarik, lelaki berasal dari Jerantut, Pahang itu menggunakan kasut jenis grounding running shoe yang mempunyai ciri khas pada bahagian tapaknya, berbanding kasut sukan berjenama yang lazimnya menjadi pilihan peserta acara berkenaan.
Menurut Ariffin, kasut berkenaan mempunyai komponen seperti rivet tembaga pada bahagian bawah tapak yang dikatakan memberikan sedikit kesan pembumian (grounding).
“Ini apa China punya, apa panggil apa, dia panggil grounding running shoe. Bawah tapak dia ada macam rivet copper. Jadi adalah sikit grounding.
“Untuk pakcik, sebab dah biasa. Tapak kaki pun kulitnya dah tebal, mungkin dekat badan pun kulit dah tebal,” katanya.
Ariffin berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa tujuh jam 19 minit 57 saat, sekali gus menduduki tempat kesembilan daripada 14 peserta dalam kategori lelaki berusia 60 hingga 64 tahun.
Cabaran IRONMAN 70.3 itu merangkumi renang sejauh 1.9 kilometer, berbasikal 90 kilometer dan larian 21.1 kilometer.
Berkongsi pengalamannya, Ariffin berkata, beliau tidak meletakkan sebarang sasaran kedudukan atau catatan masa, sebaliknya hanya mahu memastikan dirinya berjaya menghabiskan perlumbaan.
“Memang pakcik tak ada target untuk apa-apa kedudukan. Jadi nak habis saja. Tak ada apa-apa expectation.
“Basikal untuk pakcik ini memang berseronok. Memang pakcik biasa berbasikal,” katanya.
Menceritakan cabaran ketika segmen renang, Ariffin berkata, beliau terpaksa menggabungkan beberapa teknik renangan selepas mendapati gaya bebas menyukarkannya untuk mengekalkan arah pergerakan.
“Campur. Bila buat freestyle, pakcik banyak terbabas. Pergi hala lain sebab tak cukup sighting. Jadi terpaksa campur-campur dengan breaststroke, senang sikit nak tengok,” katanya.
Mengulas tahap kecergasannya, Ariffin mengakui cabaran IRONMAN 70.3 kali ini agak berat berikutan persediaan latihan yang dirasakan belum mencukupi.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mencuba cabaran IRONMAN jarak penuh sekiranya berpeluang menjalani latihan lebih intensif pada masa akan datang.
“Endurance ini, kalau yang ini 70.3 terasa berat sikit mungkin sebab latihan tak cukup. Tapi kalau lain kali berkesempatan latihan lebih, mungkin boleh buat yang penuh.
“Mungkin cuba tahun depan, mungkin letak target bawah tujuh jam,” katanya.
Sebelum ini, Ariffin turut mencuri perhatian apabila menyertai acara larian denai sejauh 30 kilometer di Taman Negara Ultra 2026 dengan berkaki ayam serta menggunakan tongkat kayu.
Beliau dilaporkan mula aktif berlari kira-kira 20 tahun lalu dengan tujuan asal untuk berhenti merokok.
Kisah Ariffin bukan sahaja memperlihatkan keupayaan seorang lelaki berusia 60 tahun mengharungi cabaran ketahanan fizikal, malah menunjukkan bahawa semangat, pengalaman dan kesungguhan menjadi antara kekuatan utama untuk mencapai sesuatu yang dianggap sukar.










