Menteri Berhak Letak Jawatan Serta-merta Tanpa Persetujuan PM – Pakar Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Seseorang Menteri Kabinet mempunyai hak untuk meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta tanpa memerlukan persetujuan Perdana Menteri atau perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, perkara itu jelas diperuntukkan menerusi Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada mana-mana menteri untuk meletakkan jawatan.

Menurutnya, Perdana Menteri hanya berperanan sebagai saluran dan penasihat dalam urusan peletakan jawatan, bukannya pihak yang menentukan sama ada keputusan itu boleh diterima atau ditolak.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Harian Metro yang disiarkan pada Ahad.

“Perdana Menteri berperanan sebagai saluran dan penasihat, bukan penentu status. Tugas beliau ialah menyembah maklum kepada YDPA, menguruskan peralihan pentadbiran serta menasihati YDPA tentang pengganti atau penyerahan fungsi kementerian kepada Menteri lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi menjelaskan, seseorang menteri tidak boleh dipaksa untuk terus memegang jawatan di luar kerelaannya, melainkan Perlembagaan memperuntukkan sebaliknya.

Katanya, Perdana Menteri hanya boleh memujuk menteri berkenaan supaya menarik balik keputusan peletakan jawatan sebelum ia berkuat kuasa.

Beliau berkata, walaupun menteri dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri, hak untuk meletakkan jawatan tetap terpelihara di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, pemakluman kepada YDPA tetap penting memandangkan baginda merupakan pihak yang melantik menteri, namun ia bukan syarat untuk mengesahkan peletakan jawatan.

“YDPA wajib dimaklumkan sebagai pihak yang melantik. Pemakluman itu ialah adab dan kewajipan perlembagaan, bukan syarat sah peletakan jawatan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, seseorang menteri dianggap tidak lagi memegang jawatan pada tarikh kuat kuasa yang dinyatakan selepas keputusan itu dikomunikasikan.

Katanya, sekiranya peletakan jawatan dinyatakan berkuat kuasa serta-merta, ia berkuat kuasa sebaik sahaja keputusan berkenaan dimaklumkan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, sebarang tindakan rasmi yang dilakukan bekas menteri selepas tarikh kuat kuasa peletakan jawatan boleh dipertikaikan kesahihannya kerana individu terbabit tidak lagi mempunyai kuasa menjalankan fungsi jawatan berkenaan.

Jelasnya, kelewatan Perdana Menteri mengambil tindakan susulan juga tidak bermakna menteri terbabit masih memegang jawatan.

Sebaliknya, Perdana Menteri wajar segera menasihati YDPA untuk melantik pengganti atau menyerahkan fungsi kementerian kepada menteri lain mengikut Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

Beliau berkata, susunan itu penting bagi memastikan hak seseorang menteri untuk meletakkan jawatan dihormati, selain mengekalkan kedudukan YDPA sebagai pihak yang mempunyai kuasa pelantikan menurut Perlembagaan.

BBerkaitan

Latest articles