Polis Intip Kegiatan Seludup Dadah Guna Aset TUDM Sejak Januari

KUALA LUMPUR: Kegiatan penyeludupan dadah menggunakan kemudahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bukan operasi baharu apabila polis mengesan pergerakan mencurigakan membabitkan pegawai tentera sejak Januari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata risikan berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sejak awal tahun membawa kepada pengesanan kegiatan itu pada Julai lalu.

Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai menggunakan kemudahan TUDM untuk membawa dadah dari satu lokasi ke lokasi lain tanpa melalui pemeriksaan ketat di pintu masuk rasmi.

Beliau berkata, pengetatan kawalan keselamatan di lapangan terbang, khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), susulan penangkapan pembantu juruterbang di Jakarta, dipercayai menyebabkan sindiket beralih kepada kaedah penyeludupan lain.

“Jadi, mereka guna kaedah membawa dadah menggunakan kemudahan TUDM dari satu titik ke satu titik dan jumlah yang kita kesan, iaitu 96 kilogram adalah besar,” katanya selepas Majlis Penerapan Nilai Murni di Kampung Paya Besar, Lunas, Kedah, malam tadi.

Hasil kerjasama JSJN dan TUDM, kegiatan membawa dadah dari Semenanjung ke Sabah berjaya dikesan, dengan pemeriksaan bagasi di premis TUDM menemukan dadah serta mengesahkan penglibatan pegawai tentera dan orang awam.

Saifuddin berkata, siasatan kini tertumpu kepada mengenal pasti sama ada kegiatan itu didalangi sindiket, tempoh operasi serta kemungkinan wujud rangkaian lebih besar, selain tidak menolak penangkapan susulan.

Khamis lalu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan lima pegawai TUDM dan enam orang awam ditahan di Lembah Klang serta Labuan kerana disyaki mengedar 96.64 kilogram syabu bernilai kira-kira RM4.83 juta menggunakan aset TUDM.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan, termasuk cadangan memperluaskan kawalan keselamatan ke pangkalan udara pasukan keselamatan bagi mengekang risiko penyeludupan dadah.

BBerkaitan

Latest articles