MCA Terbuka Bekerjasama Dengan Parti Lain, Namun Tetapkan ‘Garis Merah’

KUALA LUMPUR: MCA tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti lain dalam menghadapi landskap politik negara yang semakin kompleks, namun menegaskan prinsip dan kepentingan parti itu tidak boleh dikorbankan demi mencapai kesepakatan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, berkata parti itu bersikap terbuka untuk berunding, berdialog dan bekerjasama dengan parti berlainan demi memastikan kestabilan politik serta masa depan negara.

Menurutnya, dinamika politik semasa menyaksikan pihak yang sebelum ini bertentangan boleh berubah menjadi rakan kerjasama, malah duduk semeja untuk mencapai matlamat bersama.

“Kadangkala musuh menjadi sekutu dan duduk semeja. Itulah realiti politik hari ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Wanita MCA, hari ini.

Bagaimanapun, Chong menegaskan keterbukaan MCA dalam menjalin kerjasama politik tidak bermakna parti itu akan menggadaikan prinsip yang selama ini menjadi asas perjuangannya.

Beliau berkata, terdapat beberapa perkara yang menjadi garis merah MCA dan tidak boleh dikompromi, termasuk isu pendidikan Cina, pempolitikan agama, kedudukan setara parti itu dalam mana-mana pakatan serta hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Chong turut mengingatkan bahawa ekstremisme tidak seharusnya diberi ruang untuk menentukan hala tuju politik negara, sebaliknya perpaduan rakyat perlu dipelihara daripada dipengaruhi perpecahan berasaskan kaum dan agama.

Katanya, sikap sederhana sering disalah anggap sebagai kelemahan, sedangkan ia memerlukan keteguhan untuk mempertahankan prinsip ketika suasana politik semakin mencabar.

“Sesetengah orang mungkin menganggap sikap sederhana sebagai kelemahan, tetapi saya tidak.

“Sikap sederhana yang sebenar bermaksud mempunyai keberanian untuk berpegang teguh pada prinsip, walaupun persekitaran politik semakin ekstrem,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Chong turut menyatakan sokongan MCA terhadap gesaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan mandat baharu diperoleh.

Menurut laporan New Straits Times, Chong berpandangan kerajaan perpaduan ketika ini tidak lagi dapat dipertahankan, selain mendakwa pentadbiran gagal merangka dasar yang berkesan sehingga membebankan rakyat.

“Sebab inilah kita menyokong gesaan pengerusi BN supaya Parlimen dibubarkan,” katanya.

Terdahulu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pembubaran Parlimen lebih wajar dipertimbangkan berbanding rombakan Kabinet susulan peletakan jawatan Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan.

Beliau berpandangan mandat baharu daripada rakyat perlu diperoleh sebelum pembentukan barisan Kabinet yang baharu dilakukan.

BBerkaitan

Latest articles