KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh membidas Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berhubung kenyataannya yang mempersoalkan arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu setiap Jumaat bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.
Menurut Akmal, Khoo sepatutnya memahami sensitiviti umat Islam sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung dasar yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu.
Beliau berkata, penutupan premis antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang bukan bertujuan menyekat aktiviti perniagaan, sebaliknya memberi ruang kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.
“Awak datang Terengganu ini, kena tahu bahawa 97 peratus rakyat Terengganu adalah orang Islam. Orang Islam pada hari Jumaat ada solat Jumaat dan solat itu wajib, terutama kepada kaum lelaki.
“Sebab itu apabila tiba jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, premis ditutup. Bukannya tutup terlalu lama, bukan 10 jam atau satu hari, tetapi hanya dua jam untuk memberi kebenaran kepada orang Islam pergi menunaikan solat Jumaat.
“Jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang itu bukan untuk berehat atau tidur, tetapi untuk memberi ruang kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat.
Akmal turut mendakwa arahan berkenaan sebenarnya hanya terpakai kepada premis milik orang Islam atau premis yang mempunyai pekerja beragama Islam.
Menurutnya, MBKT juga telah memberikan penjelasan bahawa premis bukan Islam yang tidak mempunyai pekerja beragama Islam dibenarkan beroperasi seperti biasa dalam tempoh berkenaan.
“Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sudah memberikan kenyataan bahawa polisi ini hanya tertakluk kepada premis orang Islam.
“Premis bukan Islam yang tidak mempunyai pekerja Islam tidak ada masalah untuk terus dibuka. Jadi, yang diminta tutup dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang hanyalah premis yang mempunyai pekerja Islam kerana mereka hendak pergi menunaikan solat.
“Jadi, apa isunya?” katanya.
Dalam pada itu, Akmal mengingatkan Khoo yang juga Ahli Parlimen supaya memahami sebab pelaksanaan arahan berkenaan sebelum membuat sebarang kritikan.
“Sebagai ahli Parlimen, kamu patut tahu kenapa jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang itu ditutup kerana majoriti penduduk di situ beragama Islam dan arahan itu hanya terpakai kepada orang Islam.
“Sebelum kamu bercakap, tolong gunakan otak dan fahamilah sensitiviti orang Islam di situ,” katanya.
Beliau turut mengkritik pendekatan pemimpin DAP dalam membangkitkan isu berkenaan dan menyeru rakyat supaya mengambil kira perkara itu ketika membuat pilihan dalam pilihan raya.
“Kepada rakyat Malaysia, inilah perangai pemimpin DAP yang sebenar. Sama-samalah kita fikirkan dan kita zahirkan nanti di atas kertas undi,” katanya.
Terdahulu, Khoo menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan arahan MBKT yang mewajibkan premis perniagaan menghentikan operasi selama dua jam setiap Jumaat, dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.
Beliau membangkitkan perkara itu selepas mengunjungi beberapa kawasan sekitar Kuala Terengganu dan mendapati sebuah premis 7-Eleven mempamerkan notis penutupan sementara.
Khoo menyifatkan pelaksanaan dasar berkenaan berpotensi menjejaskan kebebasan perniagaan dan gaya hidup masyarakat bukan Islam sekiranya dikenakan kepada semua premis komersial.
Beliau turut berpandangan dasar lebih menyeluruh perlu dipertimbangkan bagi memastikan operasi perniagaan masyarakat bukan Islam tidak terjejas.










