Hannah Yeoh Kekal Pendirian DAP Bantah Tahanan Rumah Najib – Guan Eng

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh kekal dengan pendirian bahawa DAP menentang pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, Hannah menyatakan bantahan parti itu secara tegas dan jelas ketika menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September 2026.

Menurutnya, perkara itu didedahkan menerusi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang telah dinyahklasifikasikan dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, meskipun Hannah keberatan, beliau telah diperintahkan menerusi titah diraja untuk menandatangani pengisytiharan pengampunan berkenaan dan akur melaksanakan arahan tersebut.

“Hannah telah menjalankan tanggungjawabnya bukan sahaja sebagai pemimpin DAP, malah sebagai seorang menteri yang menunjukkan kesetiaan penuh kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Lim berkata, sikap bertanggungjawab, kepimpinan berprinsip dan keadilan Hannah turut terserlah menerusi keputusan kerajaan memperbaharui pajakan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) selama 99 tahun dengan premium tanah nominal RM1,000 berbanding anggaran RM4.67 juta.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu mengundang kritikan hebat daripada kumpulan dan individu ekstremis yang cuba menjadikan isu berkenaan sebagai polemik perkauman.

Beliau berkata, Hannah tidak tunduk kepada tekanan sedemikian dan tetap mempertahankan keputusan pengurangan premium tanah itu kerana KLSCAH mempunyai status warisan serta tidak boleh dibangunkan untuk tujuan komersial.

“Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin dan menteri yang menjalankan tugas berdasarkan merit sesuatu perkara, bukannya mudah dipengaruhi sentimen yang membakar emosi dan retorik provokatif,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles