Kerajaan Galak Rakyat Beralih Kepada Motosikal Elektrik

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia beralih secara berperingkat daripada penggunaan motosikal berenjin petrol kepada motosikal elektrik sebagai langkah mengurangkan pencemaran udara dan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis memaklumkan, peralihan itu merupakan sebahagian usaha membangunkan sistem pengangkutan lebih mampan dan rendah karbon, sebagaimana penggunaan motosikal elektrik di China.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan peralihan berkenaan mengambil kira tahap kesiapsiagaan pasaran, kemampuan pengguna, pembangunan infrastruktur dan teknologi serta aspek keselamatan.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan peralihan secara berperingkat daripada kenderaan berenjin pembakaran dalaman kepada kenderaan elektrik, termasuk motosikal elektrik, sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan sistem pengangkutan yang lebih mampan dan rendah karbon serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil,” menurut jawapan itu.

Jawapan berkenaan bagi menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang meminta kementerian menyatakan perancangan menggalakkan penggunaan motosikal elektrik seperti di China serta penilaian terhadap kelebihannya dari segi pencemaran udara, kos penggunaan dan pelepasan karbon.

Menurut kementerian itu, motosikal elektrik mencatatkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) lebih rendah berbanding motosikal petrol, iaitu 24.82 gram karbon dioksida setara bagi setiap penumpang-kilometer berbanding 140.82 gram.

Bagi pelepasan setiap kilometer pula, motosikal elektrik menghasilkan kira-kira 27 gram karbon dioksida setara berbanding 60 gram bagi motosikal petrol.

Selain itu, motosikal elektrik turut menawarkan kelebihan dari segi penggunaan tenaga yang lebih cekap, pelepasan sifar daripada paip ekzos serta kos penyelenggaraan dan operasi lebih rendah.

“Sehingga September 2026, sebanyak 32,996 buah motosikal elektrik berdaftar melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” menurut jawapan itu.

Bagi menyokong peralihan tersebut, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) yang menawarkan rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli yang layak sejak diperkenalkan pada 2023.

Kerajaan juga menetapkan kadar Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal elektrik antara RM9 hingga RM42 setahun mulai Januari 2026 berdasarkan output kuasa elektrik dalam kilowatt.

Dalam usaha meningkatkan kemudahan pengguna, kerajaan turut melaksanakan projek demonstrasi sistem penukaran bateri motosikal elektrik (Battery Swapping System – BSS) pada Disember 2024.

Melalui sistem itu, pengguna boleh menukar bateri yang hampir habis kepada bateri yang sudah dicas penuh tanpa perlu menunggu proses pengecasan.

Kementerian itu berkata, peralihan kepada motosikal elektrik akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan rakyat, penerimaan pasaran serta kesiapsiagaan infrastruktur dan teknologi.

BBerkaitan

Latest articles