17 Syor Keselamatan KLIA Dilaksana Berperingkat, e-Vetting Dan Ujian Dadah Sudah Bermula

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan secara berperingkat 17 syor penambahbaikan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu masuk antarabangsa, susulan beberapa insiden keselamatan sebelum ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga langkah awal iaitu pelaksanaan e-Vetting, saringan dadah secara rawak dan pengetatan kawalan akses kakitangan ke kawasan keselamatan dilaksanakan di bawah Fasa 1 yang melibatkan tempoh sifar hingga enam bulan.

Menurutnya, langkah berkenaan merupakan tindakan segera bagi menutup kelompongan kawalan keselamatan dengan mengoptimumkan kuasa, anggota dan aset sedia ada.

“Langkah pengetatan tapisan keselamatan serta kawalan terhadap pemegang pas keselamatan telah dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan hanya individu yang telah melalui proses tapisan keselamatan, mempunyai keperluan tugas yang sah dan memenuhi ketetapan keselamatan diberikan akses ke kawasan keselamatan terhad,” katanya.

Beliau menjawab soalan bertulis Onn Abu Bakar (BN-Batu Pahat) di Dewan Rakyat pada Khamis.

Onn meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status pelaksanaan 17 syor memperkukuh keselamatan KLIA dan pintu masuk antarabangsa yang diluluskan Jemaah Menteri, khususnya tiga langkah berkenaan serta tempoh pelaksanaan sepenuhnya.

Saifuddin berkata, pelaksanaan e-Vetting dan kawalan akses diterajui Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) bersama Aviation Security (AVSEC) serta agensi berkaitan.

Katanya, ia merangkumi pengukuhan proses tapisan keselamatan, semakan kelayakan pemegang pas, kawalan pengeluaran dan penggunaan pas serta pemantauan akses ke kawasan larangan.

“Langkah ini turut melibatkan semakan dan pengemaskinian rekod pemegang pas secara berkala bagi memastikan akses dapat ditarik balik atau diselaraskan sekiranya individu tidak lagi mempunyai keperluan tugas, bertukar penempatan atau tidak memenuhi lagi keperluan keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

Bagi saringan dadah secara rawak pula, beliau berkata, pelaksanaannya sudah dimulakan terhadap kumpulan sasaran dikenal pasti, khususnya juruterbang dan kru penerbangan.

Menurutnya, langkah itu bertujuan sebagai pencegahan serta memperkukuh integriti keselamatan penerbangan dan akan terus diperkemas berdasarkan keperluan operasi serta penilaian risiko.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, 17 syor berkenaan diluluskan Jemaah Menteri pada 19 Ogos 2026 menerusi Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

Katanya, pelan tindakan itu berteraskan tiga aspek utama iaitu keselamatan penerbangan, keselamatan negara dan sempadan serta keselamatan fizikal dan perlindungan.

Pelaksanaannya dibahagikan kepada tiga fasa iaitu jangka pendek antara sifar hingga enam bulan, jangka sederhana antara enam hingga 24 bulan dan jangka panjang melebihi 24 bulan.

Bagi Fasa 2, kerajaan memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan baharu dan perolehan aset strategik berteknologi tinggi termasuk pengimbas bagasi berkuasa tinggi, pengimbas badan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berkeupayaan analitik kecerdasan buatan (AI) serta pengukuhan Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia turut merangkumi integrasi data Pusat Penyelarasan Perkongsian Maklumat Negara (NICC) dan pemantapan latihan tenaga kerja berkemahiran khusus.

Sementara itu, Fasa 3 melibatkan pemodenan sistem keselamatan negara secara menyeluruh menerusi penggantian pengimbas bagasi dan badan generasi baharu berteknologi AI di semua pintu masuk negara.

“Kerajaan komited melaksanakan pemodenan dan transformasi sistem keselamatan nasional secara menyeluruh menerusi pengubahsuaian infrastruktur terminal dan kargo mengikut tahap risiko, penegasan NICC sebagai pusat risikan nasional serta peluasan piawaian kawalan keselamatan yang seragam dan bersepadu di semua pintu masuk udara, darat dan laut negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles