KUALA LUMPUR: Status kediaman Datuk Seri Najib Razak yang belum diwartakan sebagai penjara bukan penghalang kepada pelaksanaan tahanan rumah bagi baki hukumannya, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan perintah pengampunan bersyarat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara Malaysia akan terus melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September 2026.
Beliau berkata, pelaksanaan tahanan rumah itu merangkumi lokasi kediaman serta syarat yang telah diperkenankan Seri Paduka Baginda, dan tidak boleh diketepikan hanya kerana rumah berkenaan belum diwartakan sebagai penjara.
“Ini dilakukan selepas denda dibayar dan selepas Jabatan Penjara menerima ‘Order Of Discharge On Payment Of Fine’ daripada mahkamah bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menurut Saifuddin, Jabatan Penjara kini sedang memperincikan mekanisme pelaksanaan serta prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan perintah berkenaan dilaksanakan mengikut terma yang ditetapkan.
SOP itu akan meliputi aspek pemantauan, kawalan pergerakan, peraturan lawatan serta pematuhan terhadap syarat khusus yang dikenakan ke atas Najib.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan pelaksanaan tahanan rumah berjalan secara teratur, terkawal dan berkesan, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan.










