ICJ Putuskan Junta Myanmar Lakukan Genosid Terhadap Etnik Rohingya

THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Khamis memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap etnik minoriti Rohingya menerusi operasi ketenteraan di utara negeri Rakhine pada 2017.

Keputusan bersejarah itu menjadikan Myanmar negara pertama yang didapati bertanggungjawab melakukan genosid menerusi penghakiman ICJ, selepas mahkamah berkenaan meneliti kes yang dibawa Gambia sejak 2019.

Menurut laporan Associated Press (AP), keputusan majoriti 9-6 oleh panel 15 hakim itu menolak pembelaan Myanmar yang sebelum ini menyifatkan operasi ketenteraan berkenaan sebagai tindakan sah memerangi kumpulan pemberontak.

Presiden ICJ, Yuji Iwasawa berkata, mahkamah mendapati pasukan keselamatan Myanmar membunuh ribuan orang awam Rohingya, melakukan keganasan seksual secara meluas serta tindakan keganasan ekstrem terhadap kanak-kanak.

“Mahkamah mendapati pasukan keselamatan Myanmar membunuh ribuan orang awam Rohingya, melakukan pelbagai tindakan keganasan seksual serta keganasan ekstrem terhadap kanak-kanak dan menyerang mereka yang melarikan diri ke Bangladesh,” katanya seperti dipetik dalam laporan Reuters.

Laporan AP turut menyatakan mahkamah mendapati satu-satunya kesimpulan munasabah berdasarkan bukti kekejaman meluas itu ialah wujud niat untuk memusnahkan sebahagian besar kumpulan etnik Rohingya.

Niat untuk memusnahkan sesuatu kumpulan etnik, sama ada secara keseluruhan atau sebahagian, merupakan elemen penting dalam menentukan sesuatu tindakan memenuhi definisi genosid di bawah undang-undang antarabangsa.

Kes berkenaan difailkan Gambia pada 2019 yang mendakwa Myanmar melanggar Konvensyen Genosid 1948 susulan operasi ketenteraan yang mengakibatkan lebih 730,000 penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Myanmar sebelum ini mempertahankan operasi tersebut dengan alasan ia merupakan tindakan memerangi keganasan susulan serangan kumpulan bersenjata Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA) terhadap beberapa pos polis.

Bagaimanapun, ICJ menolak pembelaan berkenaan dalam penghakimannya.

Keputusan itu turut memberi perhatian kepada nasib kira-kira 1.2 juta pelarian Rohingya yang kini menetap di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh, selepas meninggalkan kediaman mereka akibat keganasan pada 2017.

Gambia dalam tuntutannya turut meminta Myanmar membayar pampasan kepada mangsa serta memastikan pelarian Rohingya dapat kembali ke tanah air mereka dengan selamat.

Penghakiman ICJ bersifat muktamad dan mengikat dari segi undang-undang antarabangsa, namun mahkamah itu tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan langsung dan boleh merujuk ketidakpatuhan sesebuah negara kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Keputusan berkenaan juga dijangka menjadi rujukan penting dalam kes-kes genosid lain yang sedang dipertimbangkan mahkamah antarabangsa, termasuk dakwaan genosid berkaitan konflik di Gaza.

BBerkaitan

Latest articles