KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anak Datuk Ismail Lasim supaya tidak mengheret ahli keluarga ke dalam kemelut politik Negeri Sembilan yang turut menyaksikan bapanya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, isu berkenaan membabitkan kedudukan ketua kerajaan negeri dan urusan pentadbiran, bukannya perkara peribadi yang perlu dipertahankan oleh ahli keluarga.
“Anak-beranak campur ini apa hal? Ini soal menteri besar, bukan soal bapanya,” kata Presiden UMNO itu, menurut Kosmo.
Kenyataan itu dipercayai merujuk hantaran Naim Ismail di Instagram yang mempersoalkan tindakan meletakkan bapanya sebagai ‘kambing hitam’ dalam krisis perlembagaan negeri.
Naim sebelum ini mendakwa Ismail, yang juga ADUN Juasseh, sudah melaksanakan arahan parti sepanjang kemelut berkenaan dan tidak sepatutnya dipersalahkan demi kepentingan pihak tertentu.
Kelmarin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan pihaknya menerima surat peletakan jawatan Ismail bertarikh 16 November.
Namun, Istana Negeri Sembilan menjelaskan peletakan jawatan itu hanya sah selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Zahid sebelum ini menegaskan keputusan Ismail dibuat atas kerelaan sendiri tanpa sebarang desakan atau arahan UMNO.
Beliau juga berpandangan tindakan itu mungkin diambil bagi membuka ruang penyelesaian terhadap krisis perlembagaan yang berlarutan sejak April lalu.
Krisis tercetus apabila empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai Undang mengumumkan pelucutan takhta Tuanku Muhriz, selain mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah baharu.
Pada September, Ismail menyokong kenyataan barisan EXCO yang didakwa mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz, menyebabkan baginda membatalkan pelantikan semua EXCO terbabit.
Bagaimanapun, Ismail pada Sabtu lalu mengesahkan beliau menarik balik surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, berhubung kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.










