KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan akan terus memperkukuh konsep kebersamaan atau ‘jointness’ menerusi Markas Angkatan Bersama (MK AB) bagi mengintegrasikan keupayaan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengikut keperluan operasi.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pelaksanaan konsep itu memberi tumpuan kepada pemerintahan dan kawalan, kesalingoperasian, latihan bersama serta pengoptimuman aset dan sumber ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, pendekatan berkenaan turut melibatkan perancangan operasi bersama termasuk perkongsian maklumat dan kesedaran situasi bagi membentuk angkatan tentera yang lebih bersepadu, tangkas dan berfokus.
“Markas Angkatan Bersama berperanan sebagai pemerintahan peringkat operasi yang mengintegrasikan keupayaan TDM, TLDM dan TUDM melalui konsep ‘assigned forces’, iaitu trup, aset dan keupayaan daripada ketiga-tiga perkhidmatan diletakkan di bawah pemerintahan dan kawalan operasi mengikut keperluan misi.
“Matlamatnya jelas, iaitu menggembleng kekuatan ketiga-tiga perkhidmatan sebagai satu keupayaan bersama yang lebih bersepadu serta menyumbang kepada perbelanjaan lebih mampan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mengenai pelan strategik kementerian memperkasakan konsep ‘jointness’ bagi mengurangkan pertindihan fungsi antara ketiga-tiga cabang ATM dan menjimatkan perbelanjaan tanpa menjejaskan kedaulatan negara.
Adly berkata, konsep berkenaan tidak bermaksud menghapuskan fungsi atau keupayaan khusus setiap perkhidmatan kerana TDM, TLDM dan TUDM akan terus membangunkan serta mengekalkan keupayaan teras masing-masing.
Sebaliknya, MK AB memastikan semua keupayaan itu dapat diintegrasikan pada peringkat operasi.
Menjawab soalan tambahan Ikmal Hisham mengenai cadangan meletakkan formasi tempur tetap pada peringkat batalion atau briged di bawah perintah langsung Panglima Angkatan Bersama, Adly berkata, pelaksanaan tugas dan tanggungjawab markas itu bergantung kepada keperluan misi serta operasi semasa.
Katanya, integrasi ketiga-tiga cabang pertahanan perlu dilaksanakan berdasarkan keperluan operasi dan perkembangan domain pertahanan negara.
“Adapun misi-misi antarabangsa kita, ia di bawah Angkatan Bersama, tetapi kita harus ingat juga melalui operasi dan misi dalam negara seperti Op PSE dan sebagainya.
“Kawalan melalui Angkatan Bersama ini mengintegrasikan ketiga-tiga cabang ataupun domain pertahanan kita,” katanya.
Beliau berkata, kementerian turut mengambil kira perkembangan domain baharu termasuk pertahanan siber dalam perancangan keupayaan ATM pada masa hadapan.
Menurutnya, tumpuan operasi ketika ini turut diberikan kepada kawasan Pantai Timur serta kepulauan dan perairan Sabah dan Sarawak.
“Bagaimana kita mahu melengkapkan lagi integrasi kita, ia bergantung kepada keperluan-keperluan operasi dari semasa ke semasa,” katanya.










