TVET Pertanian: 40 Kursus Nilai Tambah Sasar 1,482 Peserta

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan seramai 1,482 peserta mengikuti 40 kursus nilai tambah tahun ini bagi memperkukuh kemahiran pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi baharu agropreneur yang berdaya saing, inovatif dan celik teknologi.

Menurutnya, kurikulum TVET pertanian turut ditambah baik dengan memasukkan penggunaan teknologi moden termasuk e-dagang, Internet Kebendaan (IoT), dron dan kecerdasan buatan (AI).

“Program TVET Pertanian menawarkan 10 bidang di bawah Sijil Kemahiran Malaysia dan lima bidang di bawah Diploma Kemahiran Malaysia.

“Kurikulumnya dibangunkan dengan kerjasama pihak industri, akademik serta jabatan dan agensi berkaitan di bawah KPKM bagi memastikan ia memenuhi keperluan semasa industri,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi mengenai perancangan memperluas program TVET berasaskan pertanian pintar, automasi, dron dan AI bagi menarik lebih ramai belia menceburi sektor agromakanan.

Mohamad berkata, program latihan berstruktur selama dua tahun itu bertujuan menggalakkan generasi muda menyertai sektor agromakanan sebagai tenaga kerja mahir dan usahawan berkemahiran.

Katanya, program berkenaan turut diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Selain itu, KPKM memperluas latihan kemahiran pengendalian dron yang merangkumi aspek keselamatan, pengendalian dan pematuhan peraturan penerbangan.

“Inisiatif ini dapat membuka peluang kerjaya kepada belia sebagai operator dron pertanian dan menyediakan perkhidmatan teknologi agro,” katanya.

Beliau berkata, KPKM turut memperuntukkan RM350,000 bagi menganjurkan 14 kursus di bawah Program Pemerkasaan Agromakanan Negara yang disertai 983 peserta terdiri daripada pelatih TVET Pertanian dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT).

Dalam usaha menggalakkan penyertaan belia sebagai usahawan pertanian, Mohamad berkata, kerajaan turut menyediakan geran Agropreneur Next Gen sebanyak RM30,000 yang boleh ditingkatkan kepada RM50,000 sekiranya menunjukkan kemajuan.

Menjawab soalan tambahan Zulkafperi mengenai peluang pekerjaan kepada graduan TVET pertanian selepas tamat latihan, beliau berkata, kementerian akan mengemukakan data jumlah graduan yang berjaya mendapat pekerjaan secara bertulis.

Bagaimanapun, katanya, kementerian melihat peningkatan pengambilan graduan daripada Institut Pertanian dan program latihan pertanian oleh pihak industri.

“Kita juga sedang berdialog dan mengadakan libat urus dengan syarikat-syarikat, antaranya sebuah syarikat penyelidikan di Selayang yang mengambil ramai pelatih TVET termasuk graduan untuk bekerja,” katanya.

Menurutnya, kementerian turut menggalakkan graduan menceburi bidang keusahawanan termasuk penternakan ikan menggunakan kaedah bioflok yang berpotensi diusahakan golongan muda.

Beliau berkata, pelatih dan graduan perlu mengambil peluang yang disediakan kerajaan dengan mendapatkan maklumat serta berhubung dengan pegawai pertanian di peringkat daerah dan negeri bagi memastikan bantuan serta peruntukan dapat dimanfaatkan.

BBerkaitan

Latest articles