ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Teh Swee Leong mendakwa berlaku diskriminasi politik terhadap wakil rakyat DAP apabila beliau terus tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Kota Setar dan mesyuarat Focus Group.
Beliau yang juga Setiausaha DAP Kedah berkata, perkara itu dibangkitkan ketika perbahasan Belanjawan Kedah 2027 susulan dakwaan beliau diketepikan daripada mesyuarat berkenaan sejak lebih dua tahun lalu.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila beberapa wakil rakyat lain, termasuk Ahli Parlimen Sungai Petani serta ADUN Sidam dan Bakar Arang, dibenarkan menghadiri mesyuarat seumpamanya.
“Yang peliknya, Ahli Parlimen Sungai Petani, ADUN Sidam dan ADUN Bakar Arang dibenarkan menghadiri mesyuarat seumpamanya. Mengapa ADUN DAP dikecualikan?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa dakwaan kononnya beliau pernah dijemput menghadiri mesyuarat itu seperti ditunjukkan melalui gambar oleh Ahli Parlimen Alor Setar sebelum ini tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Katanya, beliau hanya menerima satu jemputan iaitu pada 2 April 2024 dan tidak lagi dipanggil menghadiri mesyuarat berkenaan selepas tarikh tersebut.
“Jangan gunakan gambar lama untuk memberikan gambaran mengelirukan seolah-olah tiada diskriminasi berlaku!” katanya.
Menurut Teh Swee Leong, beliau juga sudah mengemukakan surat kepada Pegawai Daerah Kota Setar yang baharu bagi mendapatkan penjelasan, namun masih belum menerima sebarang maklum balas selepas tiga bulan.
Beliau menegaskan semua 36 ADUN Kedah dipilih secara sah oleh rakyat dan mengangkat sumpah di bawah naungan Sultan Kedah, justeru tidak sepatutnya wujud layanan berbeza dalam pentadbiran negeri.
“Kalau PAS benar-benar tidak takut dengan DAP, mengapa takut membenarkan saya duduk semeja untuk menyelesaikan masalah rakyat?
“Saya bukan meminta layanan istimewa. Saya hanya menuntut peluang yang adil untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat!” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan serta menghentikan apa yang didakwanya sebagai diskriminasi politik dalam pentadbiran negeri.
“Rakyat memilih wakil mereka. Kerajaan wajib menghormati pilihan rakyat!” katanya.










