WASHINGTON: Pelanggan beberapa bank utama di Amerika Syarikat (AS) melaporkan gangguan perkhidmatan perbankan sehingga menyukarkan mereka mengakses akaun dalam talian dan melakukan transaksi pada Isnin.
Menurut laporan BBC bertajuk Customers report service outages at major US banks, antara institusi kewangan yang menerima aduan pelanggan termasuk Bank of America, JPMorgan Chase, Wells Fargo, US Bank, Truist, PNC Bank dan Capital One.
Gangguan itu turut melibatkan platform pembayaran digital Zelle apabila sebahagian pengguna melaporkan masalah menghantar pembayaran serta menerima transaksi.
Laman pemantauan gangguan perkhidmatan, Downdetector merekodkan ribuan aduan pengguna berkaitan perkhidmatan perbankan dalam talian, termasuk kira-kira 4,500 laporan membabitkan Chase.
Bagaimanapun, tidak semua bank terbabit mengesahkan sistem mereka mengalami gangguan secara langsung.
JPMorgan Chase menjelaskan masalah teknikal yang berlaku berpunca daripada pepijat perisian (software bug) pada sistem perkakasan dalaman yang dipasang di premis syarikat.
Bank itu memaklumkan masalah berkenaan menyebabkan sesetengah transaksi mengambil masa lebih lama daripada biasa untuk diselesaikan.
Bagaimanapun, Chase menegaskan pelanggan masih mempunyai akses kepada akaun dan wang masing-masing serta tiada bukti menunjukkan gangguan itu mempunyai kaitan dengan serangan siber.
Sementara itu, US Bank memaklumkan sistemnya tidak terjejas secara langsung, namun pelanggan yang melakukan transaksi melalui Zelle dengan institusi kewangan lain mungkin mengalami kelewatan.
Zelle pula menjelaskan rangkaian pembayarannya beroperasi seperti biasa, tetapi masalah teknikal pada institusi kewangan tertentu boleh memberi kesan kepada sebahagian transaksi pengguna.
Truist, PNC Bank dan Capital One turut memaklumkan kepada BBC bahawa operasi perbankan mereka tidak terjejas secara langsung.
Gangguan berkenaan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan perbankan digital untuk menguruskan urusan kewangan harian.
Insiden itu berlaku beberapa hari selepas gangguan perkhidmatan Microsoft yang menjejaskan pengguna Outlook, Teams dan Copilot.
Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti menunjukkan kedua-dua insiden berkenaan mempunyai kaitan antara satu sama lain.










