Pemimpin Tamak, Korup Mana Faham Nilai Bangunan Warisan – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR: Pemimpin yang tamak dan korup tidak akan memahami nilai sesebuah bangunan warisan kepada Kuala Lumpur, sebaliknya lebih cenderung melihatnya dari sudut kepentingan pembangunan dan keuntungan semata-mata.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, tindakan kerajaan mengenakan premium tanah sebanyak RM1,000 kepada Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) perlu dilihat berdasarkan kesediaan badan itu menukar status tanah berkenaan kepada tanah institusi.

Menurutnya, pertukaran status tersebut menyebabkan tanah berkenaan kehilangan potensi pembangunan bernilai tinggi seperti pembinaan kondominium atau pusat beli-belah.

Beliau berkata, tindakan itu bagaimanapun diputar belit oleh pemimpin UMNO dan Pas yang mempertikaikan keputusan kerajaan dengan mendakwa hasil negara terlepas kira-kira RM4 juta.

“Mereka ini cuba mengelirukan isu ini dengan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), sedangkan premium tanah, cukai tanah, cukai taksiran dan cukai pendapatan merupakan perkara berbeza.

“Premium tanah dibayar kepada kerajaan berdasarkan syarat dan potensi kegunaan tanah itu, manakala cukai tanah dibayar kepada pejabat tanah.

“Cukai taksiran pula dibayar kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas perkhidmatan yang diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti pengutipan sampah dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Hannah berkata, bangunan KLSCAH yang berusia 103 tahun dan diwartakan sebagai bangunan warisan pada 2007 itu berdepan defisit operasi tahunan kira-kira RM400,000.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada peningkatan kos penyelenggaraan, struktur bangunan yang semakin berusia serta keperluan menaik taraf aspek keselamatan dan kemudahan teknikal.

Dalam pada itu, beliau membangkitkan rekod pentadbiran terdahulu yang didakwa pernah menjual kemudahan awam termasuk padang rakyat dan kolam takungan banjir di Kuala Lumpur.

“Kalau nak cerita pasal sejarah tanah di Kuala Lumpur ini, rekod jelas menunjukkan UMNO pernah jual padang rakyat. Kolam takungan banjir pun mereka jual.

“Pas pula, ketika pemimpin mereka mentadbir di bawah Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, mereka mempertahankan penjualan padang rakyat sampai pacak tiang di tengah-tengah padang bola sepak rakyat.

“Pemimpin tamak dan korup mana nak faham nilai bangunan warisan kepada Kuala Lumpur?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kritikan terhadap usaha kerajaan memulihara bangunan warisan, termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.

Menurutnya, usaha menaik taraf dan memelihara bangunan bersejarah itu dilaksanakan ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun turut menerima kritikan berhubung peruntukan kira-kira RM600 juta bagi tujuan berkenaan.

Mengulas dakwaan kerajaan memberikan keistimewaan kepada KLSCAH sedangkan rakyat tidak menerima layanan sama, Hannah berkata, DBKL sebelum ini memberikan diskaun sewa sebanyak 50 peratus kepada kira-kira 10,000 peniaga di Kuala Lumpur selama dua tahun.

Katanya, kadar sewaan tapak bazar Ramadan di ibu negara juga antara yang terendah di Malaysia iaitu RM400 bagi satu lot sepanjang Ramadan.

“Di Kuala Lumpur, kita jaga semua tidak kira kaum atau agama,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha mempertahankan bangunan warisan tidak seharusnya dipolitikkan atau dijadikan isu perkauman kerana kepentingannya melangkaui kepentingan mana-mana kelompok masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles