KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan membalas desakan beberapa Ahli Parlimen supaya beliau meletakkan jawatan dengan menyindir parti yang diwakili mereka berhubung empat kekalahan dalam pilihan raya di beberapa negeri.
Ahmad berkata, beliau memahami kekecewaan parti berkenaan selepas mengalami kekalahan di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan terbaharu Melaka.
Malah, beliau secara sinis menyebut kemungkinan parti itu berdepan kekalahan kali kelima sekiranya bertanding di Sarawak.
“Saya faham parti MP itu terluka sebanyak empat kali.
“Di Sabah, di Johor, di Negeri Sembilan dan terkini di Melaka.
“Jika di Sarawak pihak mereka bertanding, mungkin akan kalah untuk kali ke-5. Mungkin,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Dalam hantaran sama, Ahmad turut menegaskan beliau tidak mempunyai sebab untuk meletakkan jawatan kerana pelantikannya sebagai Timbalan Menteri adalah atas cadangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tidak pernah meminta beliau meletakkan jawatan.
“Parti saya UMNO dan BN yang cadang nama saya sebagai salah seorang Timbalan Menteri.
“Presiden UMNO tidak minta saya letak jawatan pun,” katanya.
Beliau turut mengulas reaksi beberapa Ahli Parlimen terhadap pantun yang disampaikannya di Dewan Rakyat, sambil menyifatkan mereka terlalu terkesan dengan sindiran berkenaan.
“Maka saya faham hanya dengan serangkap pantun, mereka telah melenting.
“Saya tenang sahaja, seperti biasa, saya seorang yang tenang,” katanya.
Terdahulu, Ahmad mencetuskan kontroversi ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya apabila menyampaikan pantun yang mengandungi perkataan ‘kencing’.
Pantun itu berbunyi: “Jika tuan pergi memancing, jangan lupa membawa umpan. Jika tak mahu kena kencing, sokong Barisan dan Perikatan.”
Ucapan berkenaan mengundang bantahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mempersoalkan kesesuaian Ahmad menyampaikan sindiran politik ketika berucap sebagai Timbalan Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
Insiden itu turut mencetuskan desakan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) supaya Ahmad meletakkan jawatan kerana mendakwa tindakannya tidak mencerminkan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran kerajaan.










