BN Tidak Bercadang Bubar DUN Perak, Pahang – Zahid

BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Perak dan Pahang dalam masa terdekat, meskipun gabungan itu mencatat kejayaan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri berkenaan perlu diserahkan kepada pertimbangan Menteri Besar masing-masing.

Beliau yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN menegaskan, kepemimpinan BN di peringkat negeri perlu terlebih dahulu menilai keadaan semasa sebelum sebarang nasihat berhubung pembubaran DUN dipersembahkan kepada Sultan.

“ kita baru sahaja selesai PRN Melaka. Jadi, kita tidak mahu tergesa-gesa mengadakan pilihan raya di negeri lain.

“Saya serahkan kepada Menteri Besar di negeri masing-masing untuk melihat situasi dan mempersembahkan nasihat kepada Tuanku jika bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kompleks Sukan Bagan Datuk, hari ini.

Perbarisan itu membabitkan seramai 269 pelatih PLKN, dengan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Brigedier Jeneral Samad Igom.

Terdahulu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dilaporkan menggesa supaya DUN Perak dan Pahang dibubarkan bagi membuka ruang kepada pembentukan kerajaan BN-Perikatan Nasional (PN) di kedua-dua negeri.

Cadangan itu dikemukakan susulan kejayaan kerjasama BN-PN pada PRN Melaka, Sabtu lalu, yang menyaksikan kedua-dua gabungan memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN.

Ketika ini, Perak dan Pahang masing-masing ditadbir Menteri Besar daripada BN, iaitu Datuk Seri Saarani Mohamad dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sebelum ini, BN turut mencatat kemenangan dalam PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, sekali gus membentuk kerajaan negeri menerusi kerjasama dengan PN.

BBerkaitan

Latest articles