Prabowo Mohon Maaf Kepada Malaysia, Singapura Susulan Jerebu Rentas Sempadan

MANILA: Indonesia mengakui kesan buruk kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan jerebu rentas sempadan sehingga menjejaskan Malaysia dan Singapura, dengan Presiden Prabowo Subianto tampil memohon maaf kepada kedua-dua negara jiran itu.

Permohonan maaf berkenaan disampaikan ketika Prabowo berucap pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, semalam, susulan kebakaran hutan yang berlarutan hampir empat bulan.

Menurut kenyataan Biro Akhbar, Media dan Maklumat Sekretariat Presiden Indonesia, Prabowo memberi jaminan bahawa kerajaan Indonesia sedang mempergiat usaha menangani kebakaran hutan dan tanah yang menjadi punca pencemaran jerebu berkenaan.

Beliau menegaskan, kerajaan Indonesia tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang terlibat dalam pembakaran hutan dan tanah, malah tindakan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan.

“Kerajaan Indonesia mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap syarikat yang terbabit dalam kebakaran hutan dan tanah, selain mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk pembatalan konsesi serta prosiding undang-undang.

“Kita sudah membatalkan 17 konsesi syarikat. Sebanyak 26 syarikat sedang disiasat dan 11 sudah didakwa. Sebanyak 23 lagi syarikat dijadualkan didakwa, manakala keseluruhannya 104 syarikat sedang disiasat pasukan polis,” katanya.

Dalam usaha memadam kebakaran, Indonesia turut mengerahkan kira-kira 71,000 anggota bagi menjalankan operasi di kawasan terjejas.

Bagaimanapun, operasi berkenaan turut mengorbankan 16 anggota, selain menyebabkan ramai lagi mengalami kecederaan ketika berusaha mengawal kebakaran.

Prabowo mengakui pendekatan sedia ada dalam menangani kebakaran hutan perlu diperkukuh, khususnya dengan memberikan penekanan lebih besar terhadap langkah pencegahan berbanding hanya bergantung kepada operasi pemadaman dan mitigasi selepas kebakaran berlaku.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan penubuhan sebuah agensi baharu yang akan bertanggungjawab melaksanakan pelbagai program bagi mempertingkat usaha pencegahan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.

BBerkaitan

Latest articles