KUALA LUMPUR: Politik ada pasang surutnya, namun kekalahan bukan alasan untuk mengalah, sebaliknya Pakatan Harapan (PH) perlu segera memperkukuh kekuatan dan merangka strategi baharu bagi memastikan gabungan itu kembali mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, menegaskan pemimpin dan penyokong PH perlu kekal berpegang pada perjuangan gabungan itu meskipun berdepan keputusan mengecewakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, semalam.
Beliau berkata, keyakinan terhadap agenda membawa perubahan positif kepada negara perlu menjadi asas untuk PH bangkit daripada kekalahan, bukannya menjadikan keputusan berkenaan sebagai titik noktah perjuangan politik mereka.
“Selagi kita percaya perjuangan kita adalah untuk menjadikan negara lebih baik, kita akan mampu membawa perubahan positif.
“Kita tidak boleh berputus asa. Sebaliknya, kita perlu menggembleng kekuatan dan bekerja lebih keras supaya dapat bangkit semula pada PRU16,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Johor, hari ini.
PH hanya berjaya memenangi empat daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada PRN Melaka kali ini, merosot berbanding lima kerusi yang diperoleh pada PRN 2021.
Kesemua empat kerusi itu dimenangi DAP, manakala Amanah kehilangan satu-satunya kerusi yang disandang sebelum ini dan PKR terus gagal memperoleh sebarang kemenangan.
Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar dengan memperoleh 21 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) meraih tiga kerusi, sekali gus menyaksikan kedua-dua gabungan itu menguasai 24 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka dengan majoriti dua pertiga.
Loke berkata, DAP dan PH kini perlu bekerja lebih keras untuk memulihkan keyakinan penyokong, terutama golongan pengundi muda, dengan menjelaskan mengapa gabungan itu masih menjadi pilihan terbaik pada PRU16.
Menurutnya, antara perkara yang perlu diberi perhatian serius adalah kemerosotan kadar keluar mengundi, khususnya dalam kalangan penyokong PH yang dilihat semakin kurang memberikan sokongan melalui peti undi.
“Kadar keluar mengundi menurun, bukan sahaja dalam kalangan penyokong Melayu PH, tetapi juga pengundi Melayu yang mungkin menyokong kita.
“Ini sesuatu yang perlu kita beri perhatian,” katanya.
Beliau menegaskan PH tidak boleh sekadar bergantung kepada kekuatan sedia ada, sebaliknya perlu membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan reformasi serta membawa perubahan yang benar-benar dirasai rakyat.
Loke turut menekankan kepentingan memperkukuh imej PH sebagai gabungan yang memperjuangkan politik progresif, meraikan kepelbagaian dan mengutamakan perpaduan nasional.
Dalam masa sama, beliau membandingkan pendekatan PH dengan BN dan PN yang menurutnya membawa politik mundur serta memecahbelahkan masyarakat, khususnya PAS yang didakwa tidak menggalakkan perpaduan, sebaliknya memainkan sentimen perkauman.
Kekalahan di Melaka turut menyaksikan PH gagal memenangi empat PRN berturut-turut selepas Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus menambah tekanan terhadap gabungan itu untuk memperbaiki prestasi menjelang PRU16.
Bagaimanapun, DAP masih berjaya mempertahankan empat kerusi yang ditandinginya di Melaka, termasuk dua kubu kuat majoriti pengundi Cina, Bandar Hilir dan Kota Laksamana, selain kerusi campuran Kesidang serta Ayer Keroh.
Loke berkata, tumpuan utamanya dalam tempoh lapan hingga 12 bulan akan datang adalah membantu kepimpinan DAP negeri mengenal pasti cabaran serta memperkukuh persiapan bagi mempertahankan 40 kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu pada PRU15, termasuk lima di Johor.
Menurutnya, strategi politik dan gerak kerja di peringkat akar umbi perlu diperkemaskan bagi memastikan DAP tidak kehilangan kerusi yang berjaya dimenangi sebelum ini.
“Inilah misi saya untuk tempoh lapan hingga 12 bulan akan datang. Jangan risau, saya sudah tidak ada kerja,” katanya secara berseloroh.
Selasa lalu, Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Sebelum itu, beliau menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan pada September lalu, namun menetapkan peletakan jawatan berkenaan hanya berkuat kuasa apabila Najib mula menjalani hukuman sebagai tahanan rumah.










