KUALA LUMPUR: Kemenangan besar kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mencetuskan desakan supaya formula sama diperluaskan ke negeri lain, termasuk Pahang dan Perak.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, malah mencadangkan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dan Perak dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri baharu.
Beliau berpandangan, keputusan PRN Melaka membuktikan kerjasama BN-PN mampu menghasilkan kemenangan besar, sekali gus membuka ruang untuk kedua-dua gabungan itu membentuk kerajaan tanpa bergantung kepada Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, rundingan pembahagian kerusi di Melaka sebelum ini bukan sesuatu yang mudah apabila BN bertegas mahu bertanding sekurang-kurangnya 21 kerusi.
Bagaimanapun, kesediaan PAS memenuhi tuntutan berkenaan membuahkan hasil apabila parti itu tetap berjaya memenangi dua kerusi yang sebelum ini dianggap sukar untuk ditawan.
“Justeru amat wajar DUN Pahang dan Perak bubar untuk menoktahkan kerajaan BN-PN memerintah di dua negeri kerajaan perpaduan itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam PRN Melaka, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga dengan kekuatan sendiri, manakala PN menambah tiga kerusi kepada gabungan berkenaan.
DAP pula memenangi baki empat kerusi yang ditandingi PH.
Cadangan Puad itu bagaimanapun berdepan realiti politik berbeza di Pahang dan Perak apabila kedua-dua negeri masih ditadbir menerusi kerjasama BN-PH, meskipun PN sebelum ini menyuarakan hasrat memperluaskan kerjasama dengan BN ke seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Malah, hasrat berkenaan tidak mendapat sokongan sepenuhnya dalam kalangan pemimpin BN, khususnya UMNO di kedua-dua negeri.
Dua bulan lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga Naib Presiden UMNO, menegaskan BN mampu mempertahankan negeri itu sama ada bekerjasama dengan PH, PN atau bertanding secara bersendirian.
Di Perak pula, seorang perwakilan UMNO sebelum ini memberi amaran bahawa kerjasama dengan PN berpotensi melemahkan kedudukan parti itu di negeri berkenaan.
Untuk rekod, keputusan PRU 2022 menyaksikan BN dan PN masing-masing memenangi 17 kerusi DUN Pahang, manakala PH memperoleh lapan kerusi.
BN kemudiannya membentuk kerajaan negeri bersama PH dengan Wan Rosdy dikekalkan sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua.
Di Perak, PN muncul sebagai blok terbesar dengan 26 kerusi, diikuti PH (24) dan BN (sembilan).
Bagaimanapun, BN memilih bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri, sekali gus menyaksikan Datuk Seri Saarani Mohamad kekal sebagai Menteri Besar.










