SHAH ALAM: Percaturan politik yang pernah menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad disingkirkan daripada parti induk kini seolah-olah berulang apabila sebahagian individu yang terlibat dalam tindakan itu turut berdepan nasib sama, sekali gus terpaksa menubuhkan parti baharu.
Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai petunjuk bahawa kitaran politik yang pernah berlaku terhadap dirinya kini hampir lengkap, selain menjadi antara justifikasi penubuhan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) meskipun parti itu belum mencatat pencapaian memberangsangkan sepanjang enam tahun penubuhannya.
Pengasas Pejuang itu berkata, keputusan pihak tertentu untuk keluar daripada kerajaan secara tergesa-gesa sebelum ini atas alasan tidak bersetuju dengan komponen parti tertentu turut mencetuskan kemelut politik sehingga membawa kepada kejatuhan kepimpinan ketika itu.
Namun, katanya, mereka yang dahulu begitu lantang mendesak tindakan berkenaan kini dilihat kembali menjurus kepada parti yang pernah ditentang.
“Kitaran atau pusingan itu kelihatannya hampir lengkap,” katanya.
Ucapan beliau dibacakan Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali, pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pejuang di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini.
Dr Mahathir berkata, peristiwa politik lampau itu bukan dibangkitkan untuk memburukkan mana-mana pihak, sebaliknya sebagai peringatan bahawa sejarah perlu dijadikan pengajaran dalam menentukan hala tuju perjuangan.
Menurutnya, politik tidak menjanjikan persahabatan yang kekal kerana perkara paling utama untuk dipertahankan ialah matlamat perjuangan, bukannya hubungan atau kepentingan politik semasa.
Beliau turut menegaskan bahawa perubahan jajaran politik atau penjajaran semula bukan sesuatu yang luar biasa, namun perkara lebih membimbangkan apabila perubahan itu turut menyebabkan prinsip dan matlamat perjuangan berubah.
Katanya, dasar serta prinsip sesebuah parti perlu jelas supaya penyokong memahami hala tuju perjuangan, selain menjadi panduan kepada pemimpin ketika berdepan keperluan melakukan kompromi politik.
Bagaimanapun, Dr Mahathir mengingatkan bahawa matlamat perjuangan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan segala tindakan, terutama jika bercanggah dengan hukum Islam dan adat resam masyarakat Melayu.
Mengulas kedudukan politik orang Melayu ketika ini, beliau menyifatkan mereka berada di persimpangan kritikal apabila terpaksa berdepan dua pilihan yang masing-masing mempunyai kelemahan tersendiri.
Situasi itu, katanya, ibarat peribahasa Melayu, ‘ditelan mati emak, diluah mati bapak’, menggambarkan dilema dalam menentukan pilihan politik yang terbaik.
Beliau menjelaskan, satu pilihan dilihat berisiko meminggirkan agama, bangsa dan falsafah tanah air sebagai Tanah Melayu, manakala pilihan lain pula seakan-akan memberi ruang kepada perbuatan yang bertentangan dengan nilai moral.
Dalam keadaan itu, Dr Mahathir berpandangan pilihan yang masih menyediakan ruang untuk perubahan serta pembetulan dari dalam merupakan jalan yang kurang memudaratkan.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan baharu masih boleh diteruskan sekiranya kelangsungan sesebuah parti dapat dipastikan terlebih dahulu.
“Bagaimanapun, ini cuma pandangan saya,” katanya.
Walaupun tidak mampu berucap sendiri, Dr Mahathir tetap hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pejuang di IDCC, hari ini.










