MELAKA: Kejayaan mempertahankan empat kerusi tradisi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 tidak menghalang DAP daripada mengakui kelemahan Pakatan Harapan (PH) yang gagal mencapai keputusan seperti disasarkan, sekali gus menuntut penilaian semula strategi politik gabungan itu.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, parti itu berjaya mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Bandar Hilir, Kesidang dan Kota Laksamana, mencerminkan sokongan berterusan pengundi di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan di tiga kerusi baharu yang ditandingi DAP, iaitu Gadek, Pengkalan Batu dan Duyong, turut memberi petunjuk positif apabila calon parti itu berjaya mengekalkan deposit masing-masing, termasuk di kawasan yang sebelum ini dijangka menyaksikan kekalahan besar.
“Jutaan terima kasih kepada para pengundi yang terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kami. Setiap undi yang diberikan menjadi sumber kekuatan dan dorongan untuk kami terus berjuang,” katanya pada sidang media di Pejabat DAP, malam tadi.
Ahli Parlimen Kota Melaka itu menegaskan, DAP Melaka akan memperkukuh peranan sebagai semak dan imbang, sama ada di dalam atau di luar DUN, selain memastikan kepentingan rakyat terus diperjuangkan.
“Kami akan terus berkhidmat kepada rakyat, menyuarakan suara mereka serta memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.
“Kami komited melaksanakan amanah yang diberikan pengundi dengan penuh tanggungjawab dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan tersebut,” katanya.
Mengulas kegagalan PH meraih keputusan lebih baik, khususnya di kerusi yang ditandingi rakan komponennya, Khoo tidak menolak sentimen kaum dan agama yang dimainkan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) sebagai antara faktor mempengaruhi keputusan pengundi.
Namun, beliau mengakui keputusan PRN itu turut membawa mesej jelas kepada DAP dan PH supaya memperbaiki kelemahan masing-masing bagi memulihkan sokongan rakyat pada masa depan.
Khoo yang juga Timbalan Pengerusi PH Melaka berkata, gabungan itu akan mengadakan sesi pascanilai secara menyeluruh dan terbuka bersama semua parti komponennya bagi mengenal pasti kelemahan serta merangka langkah penambahbaikan.
“Kami akur PH secara keseluruhannya tidak memperoleh keputusan seperti yang diharapkan. Justeru, tanggungjawab dan cabaran yang menanti kami selepas ini pastilah lebih besar.
“Walau apa pun keputusannya, kami menghormati dan menerima dengan penuh rendah hati keputusan rakyat Melaka,” katanya.
Dalam pada itu, Khoo menegaskan hubungan DAP dengan dua lagi parti komponen PH, PKR dan Amanah, kekal erat, selain menyatakan sokongan berterusan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Sidang media itu turut dihadiri empat calon DAP yang berjaya mempertahankan kerusi masing-masing, iaitu Low Chee Leong (Kota Laksamana), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh) dan Leng Chau Yen (Bandar Hilir).










