Wan Saiful Persoal Risiko Pelaburan KWSP RM5.6 Bilion Dalam Nvidia

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu menjelaskan tahap risiko pelaburan bernilai kira-kira RM5.6 bilion dalam syarikat teknologi Amerika Syarikat, Nvidia, susulan kontroversi yang melanda syarikat pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) itu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pencarum berhak mengetahui sama ada perkembangan semasa Nvidia memberi kesan terhadap nilai pelaburan KWSP serta bagaimana risiko berkenaan diuruskan.

Beliau mempersoalkan sejauh mana wang simpanan persaraan rakyat terdedah kepada ketidaktentuan pasaran, khususnya ketika Nvidia berdepan kontroversi kepimpinan dan penelitian terhadap operasi perniagaannya.

“Saya tidak mempertikaikan strategi KWSP melabur di pasaran antarabangsa, namun wang yang diuruskan itu ialah simpanan persaraan jutaan rakyat.

“KWSP perlu menjelaskan apakah penilaian risiko yang dibuat dan langkah perlindungan sekiranya nilai saham Nvidia terus merosot,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut laporan portal SAYS pada 13 November, berdasarkan pemfailan kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) bagi suku kedua 2026, KWSP memiliki kira-kira 6.84 juta saham Nvidia bernilai AS$1.37 bilion (RM5.62 bilion) setakat 30 Jun lalu.

Jumlah itu mewakili kira-kira 7.86 peratus daripada portfolio saham Amerika Syarikat yang didedahkan KWSP, namun hanya sekitar 0.36 peratus daripada keseluruhan aset pelaburannya yang berjumlah RM1.54 trilion.

Laporan sama turut menganggarkan bahawa kejatuhan harga saham Nvidia sebanyak 40 peratus boleh menyebabkan nilai pegangan KWSP menyusut kira-kira RM2.25 bilion, dengan andaian jumlah saham yang dimiliki kekal sama.

Bagaimanapun, angka itu merupakan simulasi perubahan nilai pasaran dan bukannya kerugian sebenar yang telah direalisasikan. Prestasi dividen KWSP pula ditentukan berdasarkan keseluruhan portfolio pelaburannya, bukan pergerakan saham sesebuah syarikat semata-mata.

Dalam perkembangan berkaitan, kontroversi Nvidia turut dikaitkan dengan dakwaan kemungkinan cip AI berprestasi tinggi disalurkan ke China melalui rangkaian syarikat termasuk Megaspeed International Pte Ltd dari Singapura dan sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Jumaat memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menyiasat sama ada cip AI yang dibawa masuk ke negara ini telah dieksport semula dan sama ada transaksi berkenaan mematuhi undang-undang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, setakat ini tiada petunjuk bahawa cip AI berkaitan isu Nvidia-Megaspeed telah dieksport keluar dari Malaysia.

Mengulas lanjut, Wan Saiful turut menggesa kerajaan memastikan kontroversi berkenaan tidak menjejaskan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan teknologi serta keyakinan pelabur antarabangsa terhadap industri pusat data negara.

“Rakyat berhak mendapat kepastian bahawa setiap ringgit simpanan persaraan mereka diuruskan dengan penuh ketelusan, berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles