Enam Kerusi Penentu Isyarat Politik Menjelang PRU16 – Kian Ming

MELAKA: Enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi tumpuan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini, kerana keputusan di kawasan berkenaan berpotensi memberikan gambaran mengenai landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat, beliau berkata, antara kerusi yang diberi perhatian ialah Kota Laksamana, Bandar Hilir, Klebang, Duyong, Merlimau dan Ayer Keroh.

Menurutnya, kempen selama dua minggu tidak mengubah penilaian awalnya yang dibuat pada 13 Oktober lalu berhubung kedudukan parti-parti bertanding.

Beliau berpandangan Pakatan Harapan (PH) menjalankan kempen yang kurang memberangsangkan, termasuk manifesto dua halaman yang gagal menarik perhatian umum.

Katanya, calon Ketua Menteri PH juga lebih banyak mengkritik kerajaan negeri sedia ada berbanding mengemukakan visi jelas mengenai hala tuju pentadbiran Melaka sekiranya diberikan mandat.

“Parti Tindakan Demokratik (DAP) kebanyakannya menggunakan kaedah kempen tradisional termasuk ceramah dan tinjauan mesra di kawasan majoriti Cina, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba menggunakan pempengaruh Gen Z untuk mendekati pengundi muda menerusi media sosial,” katanya.

Bagaimanapun, Kian Ming berkata, BN dan PN juga tidak menjalankan kempen yang luar biasa kerana pendekatan mereka masih banyak bergantung kepada kaedah tradisional, termasuk janji pemberian air percuma dan bantuan kebajikan dalam manifesto.

Katanya, BN mempunyai kelebihan sebagai kerajaan negeri sedia ada, selain dibantu kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta naratif penyatuan Melayu.

Mengulas enam kerusi tumpuannya, beliau berkata, persaingan di N20 Kota Laksamana dan N22 Bandar Hilir menarik untuk diperhatikan bagi melihat sejauh mana MCA mampu mengurangkan peratus undi yang diperoleh DAP.

Kedua-dua kerusi majoriti lebih 70 peratus pengundi Cina itu dimenangi DAP dengan lebih 80 peratus undi popular pada PRN 2021.

“Perkara ini akan memberikan gambaran mengenai tahap sokongan yang masih dinikmati DAP dalam kalangan kelompok pengundi terasnya,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberi perhatian kepada kemampuan calon PKR, Farzana Hayani untuk mendapatkan sokongan pengundi di N14 Klebang yang mempunyai 68 peratus pengundi Melayu.

Farzana berdepan penyandang kerusi berkenaan daripada MCA, Lim Ban Hong.

Menurut Kian Ming, Farzana mempunyai kelebihan berbanding Lim dari segi jumlah pengikut di media sosial, namun persoalannya sama ada pengaruh itu mampu diterjemahkan kepada sokongan di lapangan.

Beliau turut meneliti prestasi penyandang DUN N21 Duyong daripada UMNO, Mohd Noor Helmy yang berdepan calon DAP, Poo Long Suan dalam pertandingan satu lawan satu.

Katanya, Mohd Noor Helmy mendapat perhatian di peringkat nasional menerusi hantaran media sosial mengenai usaha membantu penduduk di kawasannya.

Bagaimanapun, beliau berdepan kritikan pihak tertentu yang mendakwa hantaran berkenaan sekadar bertujuan untuk mendapatkan perhatian.

“Menarik untuk melihat naratif mana yang akan diterjemahkan dalam keputusan pilihan raya,” katanya.

Kian Ming turut memberi perhatian kepada nasib bekas Ketua Menteri Melaka daripada Amanah, Adly Zahari yang mempertahankan kerusi N17 Bukit Katil.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berdepan calon daripada Pas dan Parti Bersama di kerusi berkenaan yang mempunyai 68 peratus pengundi Melayu.

Sementara itu, kerusi N27 Merlimau turut menjadi perhatian beliau susulan penyandangnya, Akmal Saleh yang berdepan persoalan sama ada mampu meningkatkan majoriti kemenangan berbanding 3,428 undi pada PRN 2021.

Menurutnya, aspek yang menarik untuk diperhatikan ialah tahap sokongan pengundi bukan Melayu yang membentuk 28 peratus daripada keseluruhan pengundi di kawasan berkenaan.

“Jika Akmal berjaya meningkatkan majoritinya, ia menunjukkan bahawa meskipun imej awamnya sering dikaitkan dengan perjuangan Melayu, beliau juga mampu mendapatkan sokongan bukan Melayu di peringkat akar umbi,” katanya.

Satu lagi kerusi yang menjadi tumpuan ialah N16 Ayer Keroh yang menyaksikan penyandangnya, Kerk Chee Yee berdepan calon Gerakan berbangsa Cina, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbangsa Melayu serta calon Bersama.

Kerusi itu mempunyai komposisi pengundi Melayu sebanyak 44 peratus, Cina (46 peratus) dan India (lapan peratus).

Kian Ming berkata, perkembangan di Ayer Keroh menarik untuk diperhatikan kerana mempunyai persamaan dengan pertandingan di N1 Chennah, Negeri Sembilan yang menyaksikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook tewas kepada calon MCA.

Mengulas kesan keputusan PRN Melaka terhadap politik nasional, beliau berkata, keputusan yang memihak kepada BN-PN dengan majoriti besar berpotensi meningkatkan tekanan terhadap Kerajaan Perpaduan yang sedia berdepan pelbagai cabaran.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berusaha memastikan kerajaan kekal sehingga tamat penggal pada penghujung 2027.

Beliau turut berpandangan keputusan PRN Melaka akan memberikan gambaran mengenai sejauh mana isu peletakan jawatan Anthony Loke dan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempengaruhi sentimen pengundi.

“Perkara ini akan memaksa PH mencari pendekatan lain untuk melemahkan BN dan PN, sekali gus menjadikan tahun 2027 sebagai tempoh yang menarik dalam perkembangan politik negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles