KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri kekal berjalan lancar tanpa sebarang masalah meskipun suhu politik negara semakin memuncak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketegangan politik ketika musim pilihan raya adalah perkara biasa dan tidak seharusnya mengalih perhatian kerajaan daripada agenda pembangunan serta kepentingan rakyat.
Menurutnya, mesyuarat pagi tadi dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri Kabinet, kecuali Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang sudah meletakkan jawatan.
“Mesyuarat biasa dan saya tidak kesan apa-apa masalah. Perbincangan kita fokus mengenai pembangunan dan kemudahan rakyat,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah Surau Brickfields, hari ini.
Beliau mengulas ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan susulan pertikaman lidah antara beberapa menteri, termasuk desakan supaya menteri DAP dan UMNO meletakkan jawatan berhubung isu tahanan rumah membabitkan Datuk Seri Najib Razak serta kedudukan kepimpinan kerajaan.










