MELAKA: Kegagalan Pakatan Harapan (PH) mengangkat isu rasuah, kesenjangan ekonomi dan skandal tadbir urus sebagai senjata utama untuk mencetuskan gelombang penolakan terhadap Barisan Nasional (BN) dilihat melemahkan momentum kempen gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sebaliknya, PH dilihat hilang rentak apabila kempen yang dijalankan lebih tertumpu kepada kekuatan calon di kawasan masing-masing, tanpa naratif induk yang mampu menyatukan mesej politik serta membangkitkan sentimen pengundi secara menyeluruh.
Penilaian Ilham Centre mendapati, ketiadaan mesej yang jelas dan mencengkam imaginasi pengundi menyebabkan PH gagal membina momentum penolakan terhadap BN, meskipun isu rasuah dan kesenjangan ekonomi berpotensi dijadikan asas serangan politik terhadap parti itu.
“ Ketiadaan naratif induk menyebabkan kempen PH bergerak secara terpisah mengikut calon dan kawasan tanpa mesej politik yang benar-benar mencengkam imaginasi pengundi.”
Dalam masa sama, badan pemikir itu turut menilai kerjasama kerajaan dengan Bersatu menerusi perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) gagal diterjemahkan kepada persefahaman politik dalam kalangan pengundi kedua-dua parti.
Ilham Centre berkata, pendekatan kerjasama secara tertutup dan tanpa hubungan politik terbuka menimbulkan kekeliruan, khususnya dalam kalangan pengundi atas pagar yang tidak dapat memahami hala tuju sebenar kesepakatan berkenaan.
“Pendekatan kerjasama secara ‘malu-malu’ ini mewujudkan ketaksaan (kekaburan) dalam kalangan pengundi fence sitter (berkecuali) yang tidak dapat mengenal pasti hubungan sebenar antara kedua-dua entiti politik.”
Menurutnya, ketiadaan mesej bersama menyebabkan penyokong PH dan Bersatu kekal bergerak berdasarkan kesetiaan kepada parti masing-masing, tanpa sebarang dorongan jelas untuk menggabungkan kekuatan sokongan.
Justeru, PH dan Bersatu perlu memuktamadkan pakatan pilihan raya secara rasmi sekiranya mahu menjadikan kerjasama itu sebagai strategi berkesan untuk menyaingi BN dan Perikatan Nasional (PN).
Tanpa kesepakatan mengenai calon, pembahagian kerusi, naratif kempen serta mobilisasi jentera, kerjasama berkenaan berisiko hanya menjadi persefahaman dalam kalangan elit politik yang gagal menghasilkan sokongan di peti undi.
“Tanpa kesepakatan jelas dari segi calon, pembahagian kerusi, naratif dan mobilisasi jentera, kerjasama politik sedemikian berisiko kekal sebagai persefahaman elit yang gagal diterjemahkan kepada undi.”
Kerajaan pada 29 Oktober lalu memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen, membabitkan enam wakil rakyat Bersatu yang diketuai presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perjanjian itu merangkumi sokongan terhadap Belanjawan 2027 dan reformasi institusi, selain membolehkan wakil rakyat terbabit menerima peruntukan pembangunan kawasan setara Ahli Parlimen kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan kawasan pembangkang tidak dipinggirkan daripada pembangunan, namun mekanisme penyaluran peruntukan melalui Ahli Parlimen perlu dirunding.
CSA itu bagaimanapun mencetuskan polemik politik apabila Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkannya sebagai ‘pendekatan dajal’.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula berpandangan CSA tidak seharusnya dijadikan budaya politik baharu kerana ia seolah-olah tidak mengiktiraf pilihan rakyat, selain berpotensi membuka ruang kepada salah guna kuasa demi meraih sokongan.
Dalam perkembangan sama, Ilham Centre mendapati moral jentera BN berada pada tahap tinggi susulan kejayaan parti itu pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Naratif politik identiti menerusi slogan ‘Asal Bukan PH’ juga dilihat semakin mendapat tempat sepanjang kempen, sekali gus memberikan kelebihan kepada BN dalam membentuk sentimen pengundi.
Kajian Ilham Centre itu dilaksanakan dari 1 hingga 12 November lalu membabitkan 805 responden merentasi kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Dapatan berkenaan turut disokong menerusi perbincangan kumpulan berfokus serta temu bual mendalam.










